Monday, November 1, 2010

Polis rampas dadah 2.85kg, tahan empat lelaki Iran

SHAH ALAM: Polis menahan empat lelaki Iran dan merampas 2.85kg dadah disyaki syabu di lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi Sabtu lalu.
Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, keempat-empat mereka ditahan sebaik tiba di KLIA dengan pesawat dari Bahrain, selepas dadah itu ditemui diisi dalam rongga-rongga kosong kerangka beg pakaian tiga daripada mereka.

"Apabila beg-beg mereka diimbas, dadah-dadah itu tidak kelihatan, tetapi polis menemui dadah itu hasil pemeriksaan secara manual kemudiannya," katanya pada satu persidangan media di sini hari ini.

Beliau berkata, dadah itu ditemui di dalam beg yang dibawa oleh tiga lelaki Iran masing-masing berumur 27, 26 dan 43 tahun, dan siasatan mendapati ini merupakan kali pertama ketiga-tiga mereka menjejakkan kaki di Malaysia.

"Seorang lagi lelaki Iran yang ditahan berumur 26 tahun, biarpun tiada dadah ditemui di dalam begnya, kami menahannya kerana dia dipercayai dalam kumpulan dengan tiga lelaki berkenaan," tambahnya.

Menurutnya, lelaki itu didapati memasuki Malaysia lima kali sejak September 2009.

Sementara itu, Nordin berkata, semalam polis Selangor menahan seorang lelaki warga India berusia 36 tahun yang didapati cuba membawa masuk dadah dipercayai syabu seberat 2.6kg, yang disembunyikan dalam empat bingkai gambar.

Beliau berkata, lelaki yang bekerja sebagai tukang jahit yang berasal dari Chennai, India itu, ditahan pada kira-kira jam 1.30 tengah hari dan dia didapati sudah 12 kali memasuki Malaysia sejak Januari lalu.
Nordin berkata, nilai dadah yang dirampas selama dua hari itu menjangkau RM1.3 juta dengan berat keseluruhan 5.45 kg.

Kesemua yang kini ditahan reman sehingga 7 November ini dan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.-Bernama

No comments:

Post a Comment