Monday, November 1, 2010

Letusan merapi hari ini sembur banyak awan panas bergulung-gulung



YOGYAKARTA - Merapi meletus lagi hari ini menyemburkan awan panas abu volkanik yang kelihatan bergulung-gulung di atas puncak gunung berapi di sempadan provisi Yogyakarta dan Jawa Tengah, menyebabkan orang ramai ketakutan dan panik.

Pakar-pakar gunung berapi Indonesia bagaimanapun berkata kejadian pada pukul 10.30 pagi itu tidak sekuat letusan pada hari pertama 26 Oktober lepas yang mengakibatkan 38 orang terbunuh.

Lebih 500 pelajar Malaysia di Yogyakarta, Magelang dan Solo dilaporkan selamat dan mereka diarah oleh Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia supaya mengurangkan aktiviti luar serta menggunakan topeng muka apabila keluar dari bangunan.

Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Kegunungapian (BPPTK) berkata, Merapi meletus secara eksplosif hingga setinggi 1,500 meter dan awan panasnya kemudian meluncur hingga radius 4km ke arah selatan di Kali Gendol, Cangkringan, di daerah Sleman. 

Awan panas itu bagaimanapun tidak sampai ke kawasan penempatan penduduk seperti letusan pertama pada 26 Oktober yang memusnahkan kampung Kinahrejo, Cangkringan di bahagian barat daya Merapi, iaitu perkampungan Jurukunci Merapi Mbah Maridjan, yang terbunuh bersama 14 orang lain.

Tebaran awan panas pada Selasa lalu menjangkau kawasan seluas lebih 7km.

"Kekuatan gempa kali ini tidak sekuat ketika letusan pada 26 Oktober lepas," kata kata Kurniadi, petugas yang mengawasi Merapi di BPPTK Yogyakarta.

Siaran langsung televisyen pula menunjukkan visual penduduk di sekitar lereng Merapi lari lintang pukang ke arah pusat pemindahan Merapi dengan menaiki kenderaan sendiri.

Lazimnya pada waktu tengah hari penduduk akan pergi ke kawasan bencana meninggalkan pusat pemindahan, untuk melakukan aktiviti harian seperti mencari rumput untuk ternakan lembu masing-masing di kawasan terletak berhampiran puncak gunung.

"Angin berhembus dari barat ke timur, sehingga abu volkanik mengarah ke timur Merapi seperti Kota Boyolali hingga Solo dan sekitarnya," kata Kurniadi.

Awan panas panjang kelihatan terus berhamburan hingga pukul 12 tengah hari dan masih belum berhenti, namun jarak luncurannya hanya sekitar ratusan meter.-BERNAMA

No comments:

Post a Comment