Thursday, November 25, 2010

Keluarga 14 pekerja Ladang Tumbuk dakwa diugut




Penduduk Ladang Tumbuk, Tanjung Sepat menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap pengurusan baru ladang itu di IPD Kuala Langat, baru-baru ini.


KUALA LANGAT 24 Nov. - Sebanyak 14 keluarga pekerja Ladang Tumbuk, Tanjung Sepat di sini mendakwa teraniaya apabila pengurusan baru ladang itu cuba mengusir mereka dari kediaman yang dihuni sejak 30 tahun di ladang getah itu.
Mereka mendakwa, pengurusan baru itu juga bertindak menukar pampasan rumah baru di dalam ladang itu yang dijanjikan oleh majikan lama dengan wang tunai berjumlah RM25,000.
Apabila penduduk enggan menerima tawaran yang dianggap tidak adil kerana wang sebanyak itu tidak cukup untuk membeli sebuah rumah kos rendah, mereka mendakwa diugut oleh pihak pengurusan baru itu.
Ekoran ugutan itu, penduduk terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Langat baru-baru ini.
Jurucakap penduduk, S. Arutchelvan berkata, sebelum ini, penduduk dijanjikan sebuah rumah kos rendah oleh pengurusan lama tetapi setelah berlaku pertukaran pengurusan, mereka hanya ditawarkan sebanyak RM25,000 bagi setiap keluarga.
Menurutnya, apabila penduduk tidak mahu menerima tawaran itu, penduduk mendakwa pengurusan baru cuba mengusir mereka secara paksa dengan membuat pelbagai ugutan dan mengancam keharmonian.
"Perjanjian pembinaan rumah kos rendah itu masih dalam rundingan serta penyelesaian melibatkan beberapa pihak termasuk kerajaan negeri.
"Masalah timbul apabila pengurusan baru ladang ini enggan memenuhi perjanjian itu dan hanya mahu memberikan penduduk wang tunai sebagai pampasan," katanya selepas membantu penduduk berkenaan membuat laporan polis.
Tambahnya, laporan polis itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga kerana mereka khuatir keselamatan mereka terancam.
Seorang penduduk, A.Saanthy, 38, berkata, pengurusan telah mengugut mereka untuk merobohkan kediaman dan akan memotong bekalan air dan elektrik jika mereka masih enggan menerima tawaran tersebut.
"Malah pihak pengurusan ini juga datang ke rumah kami dan mengambil nombor kad pengenalan tanpa memberitahu tujuan sebenarnya.
"Kami buat laporan hari ini kerana kami semua tidak lagi rasa selamat dengan pelbagai cubaan pengusiran dengan paksa," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Nordin Manan ketika dihubungi mengesahkan laporan polis dibuat oleh penduduk Ladang Tumbuk dan pihaknya akan menyiasat perkara tersebut.

No comments:

Post a Comment