Thursday, November 25, 2010

R&R tak selamat


Oleh Nor Hazwani Hamat

2010/11/25

SITI Assah  menunjukkan keadaan syiling kedainya yang hanya ditutupi kepingan papan bagi mengelakkan tempias hujan dan dipecah masuk pencuri.
SITI Assah menunjukkan keadaan syiling kedainya yang hanya ditutupi kepingan papan bagi mengelakkan tempias hujan dan dipecah masuk pencuri.
Peniaga kesal hentian Kuala Balah mudah diceroboh 

JELI: Peniaga yang beroperasi di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kuala Balah di sini, meluahkan rasa bimbang mereka terhadap infrastruktur premis berkenaan yang kurang selesa dan menjejaskan aktiviti perniagaan harian mereka. 

Peniaga menyifatkan premis digunakan mereka tidak mempunyai ciri keselamatan dengan struktur bumbung tinggi tanpa dipasang siling, mendedahkan perniagaan mereka kepada tempias hujan dan angin kencang sehingga menerbangkan barangan jualan.Berikutan itu, ada di antara peniaga terbabit terpaksa mengambil inisiatif membina siling sendiri menggunakan kepingan papan.
Pengusaha kedai makan, Wan Nor Azizah Wan Ali,37, berkata keadaan sering menjadi kelam kabut apabila angin dan hujan lebat sehingga mereka terpaksa menutup kedai serta merta. 

"Keadaan bumbung tinggi menyebabkan tempias setiap kali hujan, sehingga mengganggu pelanggan untuk menikmati makanan dengan selesa. 

"Pernah berlaku sebelum ini, ketika hujan lebat dengan angin kencang, saya terpaksa menyuruh pelanggan makan di dapur kedai kerana hujan membasahi seluruh ruang meja makan di depan kedai. 

"Paling menakutkan, pinggan mangkuk pernah melayang bertaburan kerana tiupan ribut kerana kedudukan bumbung premis ini yang terlalu tinggi," katanya. 
Peniaga runcit, Siti Assah Abdulah, 58, berkata pembinaan bumbung tinggi tanpa mempunyai ciri keselamatan menyebabkan kerugian pada perniagaannya. 

"Atap dibina terlalu tinggi mencecah ketinggian dua tingkat rumah, malah siling tidak dibina untuk setiap kedai, sebaliknya dipasang jeriji. 

"Keadaan ini mengundang kecurian kerana siling jeriji ini mudah dibolosi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Walaupun tidak selamat, kami tiada pilihan daripada terus berniaga di sini demi mencari rezeki menyara keluarga. 

"Sewa premis dibayar setiap bulan dan aduan mengenai masalah yang kami hadapi di sini sudah dibuat tetapi tiada sebarang usaha diambil bagi mengatasi masalah ini," katanya. 

Pengunjung, Mohd Ashani Abdul Ghani,37, berkata R&R itu menjadi pilihan pengunjung untuk untuk singgah berehat sambil menggunakan kemudahan seperti tandas dan surau serta mengunjungi gerai makanan yang dibuka. 

"Malangnya, kalau hujan tempat ini tidak boleh dijadikan lokasi tumpang berteduh kerana tempias hujan yang sering dialami. 

"Pihak yang bertanggungjawab perlu prihatin dan bertindak, bukan melihat sahaja kerana jika keadaan di sini berterusan peniaga juga rugi malah pengunjung juga tidak mahu singgah kerana bimbangkan keselamatan," katanya

No comments:

Post a Comment