Thursday, November 25, 2010

Lagi tarah bukit




2010/11/25

Kerja dipercayai haram untuk dapat pasir berisiko tumbangkan pencawang

SEMENYIH: Satu lagi kerja menarah bukit untuk mendapatkan pasir dipercayai dilakukan secara haram dikesan berhampiran Taman Semenyih Impian, di sini, yang mungkin akan menumbangkan beberapa batang pencawang elektrik bervoltan tinggi milik Tenaga Nasional Berhad (TNB). 

Ribuan pengguna sekitar Hulu Langat akan berdepan risiko bergelap jika pencawang itu tumbang dan TNB akan mengalami kerugian jutaan ringgit apabila tanah di kawasan bukit itu semakin gondol ditarah setiap hari.Difahamkan, aktiviti itu berleluasa sejak enam bulan lalu dan kedudukannya hanya kira-kira lapan kilometer dari lokasi curi pasir yang didedahkan Sentral pada 14 Oktober lalu, berhampiran jirat Cina Nirvana Memorial Park di Kampung Pasir Baru dekat sini.
Aktiviti itu juga antara punca air Sungai Lalang berkelodak selain alam sekitarnya mengalami kemusnahan apabila sumber pasirnya dilombong secara haram. 
Tinjauan Sentral mendapati kegiatan itu menyebabkan sebahagian kawasan bukit sudah habis gondol dan kedudukan pencawang itu hanya beberapa meter daripada tebing bukit terbabit. 

Kerakusan kegiatan terbabit berjalan dengan sewenang-wenangnya tanpa pemantauan pihak berkuasa apabila hasil tinjauan mendapati beberapa jenkaut sedang sibuk menarah tanah bukit terbabit sebelum dibawa lori lain bagi dicuci di Sungai Lalang bagi menghasilkan pasir untuk dijual. 

Difahamkan, setiap hari terdapat puluhan lori yang bersiap sedia membawa pasir yang siap dicuci melalui lorong tikus yang menembusi simpang masuk Kawasan Perindustrian Villa Raya menuju ke pekan Semenyih. 
Lebih membahayakan, bagi pengguna kali pertama yang melalui sepanjang jalan raya yang menghubungkan pekan Semenyih dan pekan Hulu Langat itu berdepan risiko bertembung dengan lori pasir yang seolah-olah tidak takut dikenakan tindakan undang-undang apabila menjalankan kegiatan haram itu. 

Sumber yang enggan dikenali berkata, kegiatan itu menimbulkan tanda tanya kepada penduduk sekitar kerana operasinya bermula seawal jam 3 pagi hingga lewat malam setiap hari. 

Katanya, penduduk juga ada bertanya kepada pemandu lori berkaitan projek itu dan dimaklumkan bukit itu ditarah untuk membolehkan sebuah kilang dibina. 

“Tetapi apabila ditanya mengapa tanah dan pasir dibawa keluar, pemandu lori terbabit tidak menjawab. Kita hairan, jika ingin membina kilang bolehkan ia dibina di bawah pencawang elektrik bervoltan tinggi. 

“Penduduk juga bimbang jika pencawang itu runtuh kerana risiko untuk berlakunya tanah runtuh lebih tinggi kerana kawasan tebing bukit itu semakin gondol dalam masa yang singkat, ” katanya. 

Seorang lagi penduduk yang enggan namanya disiarkan berkata, setiap hari ada saja pemandu lori menjadikan jalan di Taman Semenyih Impian sebagai laluan masuk dan keluar pasir terutama ketika hujan lebat. 

No comments:

Post a Comment