Thursday, November 25, 2010

Hentikan pakej percuma ke kasino





JOHOR BAHRU 24 Nov. - Kerajaan digesa mengadakan perbincangan diplomatik dan meminta Singapura menghentikan pakej percuma pelancongan ke kasino di negara jiran itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nenas, Tang Nai Soon berkata, perbincangan tersebut merupakan salah satu daripada lima langkah yang boleh diambil oleh kerajaan memandangkan pakej sehari ke kasino Singapura tersebut telah membawa banyak kesan negatif kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, langkah kedua adalah mengenakan syarat supaya rakyat Malaysia boleh memohon untuk mengharamkan ahli keluarga mereka memasuki kasino berkenaan seperti yang dilakukan oleh warga Singapura ke atas ahli keluarga mereka.
"Langkah ketiga adalah menyediakan kaunter pendaftaran di kasino itu manakala langkah keempat mengehadkan setiap rakyat Malaysia memasuki kasino seperti maksimum 50 kali setahun.
"Langkah kelima adalah menubuhkan Pusat Kaunseling Perjudian untuk memberi segala bantuan dan khidmat nasihat kepada mereka yang gemar berjudi agar insaf dan berhenti berjudi," katanya semasa membahaskan ucapan Bajet Negeri Johor 2011 pada Sidang Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan kira-kira 3,000 rakyat Malaysia mengunjungi Singapura untuk berjudi di kasino negara itu setiap hari dengan nilai perbelanjaan minimum RM2,400 seorang bersamaan RM7 juta sehari atau RM200 juta sebulan.
Kira-kira 40 peratus atau 1,200 rakyat Malaysia yang aktif berjudi di kasino negara jiran ialah golongan wanita termasuk suri rumah berusia 40 tahun ke atas.
Golongan tersebut dikatakan mudah terpengaruh dengan tawaran yang disediakan pihak kasino iaitu perkhidmatan pengangkutan secara percuma dan pemberian baucar tunai S$30 (RM72) sekiranya berjudi di sana.
Nai Soon berkata, langkah terakhir yang boleh diambil oleh kerajaan adalah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada agensi kerajaan, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh menganjurkan seminar dan forum mengenai kesan negatif perjudian selain mendidik orang ramai melalui media.
"Masalah perjudian ini memberi kesan negatif kerana boleh mengakibatkan seseorang meminjam daripada ceti haram atau ah long sehingga terpaksa menggadaikan harta benda, meninggalkan keluarga dan akhirnya mengambil tindakan membunuh diri.
"Justeru, dengan adanya langkah seumpama ini diharap dapat mengatasi masalah perjudian dalam kalangan rakyat negara ini yang mengikuti pakej pelancongan sehari ke kasino berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment