Saturday, November 6, 2010

Lim saman Berita Harian dan Ketua Menteri Melaka



KUALA LUMPUR - Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan memfailkan saman terhadap Berita Harian dan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berhubung artikel ‘Tindakan Kit Siang tuduh UMNO kafir melampau’ walaupun akhbar itu membuat pembetulan, semalam. 

Kit Siang berkata, walaupun ia menafikan merujuk kepada beliau, peguamnya, Karpal Singh akan memfailkan saman terhadap kedua-dua pihak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin ini. 

“Saya sudah memaklumkan kepada Karpal bagi meneruskan tindakan undang-undang terhadap Berita Harian dan Ali Rustam,” katanya di sini, semalam. 

Kit Siang berkata, beliau juga akan menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, untuk memastikan polis tidak menyembunyikan perkara itu. 

"Walaupun pembetulan sudah dibuat akhbar itu, ia tidak sama dengan permohonan maaf, malah memburukkan lagi keadaan," katanya. 

Sementara itu, Kapal berkata, laporan polis berhubung perkara itu sudah dibuat di Gua Musang. 

Katanya, pihaknya akan memfailkan saman dan mengambil tindakan undang-undang terhadap Mohd Ali, yang juga Ketua Menteri Melaka, dan akhbar berkenaan. 

“Kenyataan Mohd Ali bahawa Kit Siang melabel UMNO kafir adalah keterlaluan dan mengandungi unsur hasutan serta fitnah yang jelas. 

“Tindakan mereka itu boleh didakwa mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Sehubungan itu, kita akan memfailkan saman jam 2.30 petang di Mahkamah Sivil Jalan Duta,” katanya.

No comments:

Post a Comment