Saturday, November 6, 2010

Tetap pertahan surau




BUKIT KATIL – Kira-kira 100 penyokong Pas membuat demonstrasi bantahan secara aman selama kira-kira 20 minit di hadapan Masjid Bukit Katil, dekat sini, selepas solat Jumaat semalam. 

Demonstrasi kali ketiga dilakukan Pas itu sebagai membantah langkah Kerajaan Negeri merobohkan surau juga melibatkan bangunan markas Pas bagi membolehkan pembinaan jalan raya. 

Bagaimanapun, kira-kira 50 anggota Pasukan Simpa-nan Persekutuan (FRU) tiba bagi meleraikan demonstrasi yang turut menarik perhatian orang ramai sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas. 

Ketua Dewan Pemuda Pas, Kamarudin Sidik berkata, mereka sekeras-kerasnya membantah dan memohon Kerajaan Negeri supaya mempertimbangkan semula cadangan pembinaan jalan raya terbabit. 

Menurutnya, Pas turut menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Menghalang Pengambilan Tanah dan Perobo-han Surau serta Tadika Pasti Bukit Katil sebagai tanda serius pembantahan. 

“Sekali lagi kami membantah untuk pengambilan tanah ini dan melakukan demonstrasi kerana beliau (Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam) tidak bersedia berbincang dengan baik bersama kami. Adakah pengambilan ini menyentuh kepentingan politik. 

“Dakwaan mengatakan bangunan surau ini tiada pelan adalah tidak tepat kerana bangunan surau itu ada pelan yang diluluskan sendiri Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Melaka Bersejarah (kini Majlis Bandaraya) pada Mei 2000,” katanya. 

Menurutnya, di bawah jawatankuasa berkenaan, mereka akan terus mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin sebagai tujuan membantah merobohkan surau dengan melibatkan lapan pemilik tanah di situ. 

Sementara itu, pemilik tanah, Silan Ibrahim berkata, mereka sudah berjumpa dengan wakil Pejabat Tanah Daerah Melaka Tengah bagi menyelesaikan kemelut berkenaan. 

“Pada mulanya, kami mendapat surat untuk tujuan bayaran pampasan. Tetapi pertemuan pada 3 November lalu, mereka hanya menyoal beberapa perkara seperti keluasan surau, ahli jawatankuasa surau dan adakah kami bersetuju dengan pengambilan tanah ini. 

“Jawapannya, biar setinggi mana pun nilai pampasan yang akan diberikan, kami dengan tegas tidak akan menerimanya. 

“Selaku waris yang mewakafkan tanah, surau ini akan dipastikan terus menjadi tempat umat Islam beribadat dan pelajar Pasti akan terus belajar di sini. 

“Kami sesekali tidak membenarkan tanah ini diambil,” katanya. 

Difahamkan, seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditahan polis, semalam bagi memberi keterangan berhubung demonstrasi itu.

No comments:

Post a Comment