Saturday, November 6, 2010

Mursyidul Am Pas ragui kemenangan BN



KOTA BHARU 5 Nov. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kecewa dengan keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas semalam yang menyaksikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN).
Beliau meragui keputusan tersebut menunjukkan kehendak sebenar pengundi di DUN Galas kerana mendakwa ada unsur ugutan dan sogokan terhadap pengundi.
Menurutnya, BN menanggung dosa jika rakyat memilih parti itu kerana tekanan dan bukan membuat pilihan secara bebas.
"Kita kecewa. Kalau rakyat terima sungguh (BN) sebagaimana kehendak dia tolak Pas itu tidak mengapa. Tapi kalau tolak Pas ambil BN kerana perkara 'tertentu', kerana ugutan, kerana sogokan, kerana apa-apa, maka dosa dia (BN) tanggung sampai ke akhirat.
"Ini kerana dia tidak beri peluang kepada rakyat memilih. Kita sebut pilihan raya, tahu-tahunya jadi 'tekanan raya', itu berdosa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah pagi Jumaat di pekarangan Pejabat Perhubungan Pas negeri di sini, hari ini.
Nik Abdul Aziz berkata, beliau hairan bagaimana pada malam sebelum hari pembuangan undi, seorang menteri Kabinet boleh mengeluarkan kenyataan bahawa BN akan menang besar.
"Saya ragu kerana keesokan hari nak mengundi, malam itu saya tengok siaran di televisyen, seorang menteri mengatakan bahawa BN akan menang banyak.
"Mana dia tahu BN akan menang banyak sedangkan esok baru nak mengundi, makna ada benda dia (BN) buat," katanya.
Beliau memberi amaran, 'dosa' yang akan ditanggung BN kerana setiap kegiatan manusia termasuk urusan politik tidak akan terlepas daripada agama dan undang-undang Allah.
Pilihan raya kecil semalam menyaksikan BN menang dengan majoriti 1,190 undi apabila calonnya Abdul Aziz Yusoff memperoleh 5,324 undi berbanding calon Pas, Dr. Zulkifli Mohamed dengan hanya 4,134 undi.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, Pas menang dengan majoriti kecil 646 undi dengan Allahyarham Chek Hashim Sulaima (Pas) mendapat 4,399 undi dan Saufi Deraman (BN) 3,743 undi.
Dalam pilihan raya kecil ini, Pas yang dilihat ghairah berkempen kepada kaum Tionghua kehilangan sebahagian besar sokongan kaum itu contohnya di Kampung Baru yang merupakan kawasan majoriti kaum Tionghua apabila kalah dengan 41 undi berbanding kemenangan lebih 200 undi di situ pada 2008.

No comments:

Post a Comment