Wednesday, November 17, 2010

Putera William berkahwin dengan kekasih tahun depan


GAMBAR bertarikh 23 Oktober lalu menunjukkan Putera William dan kekasihnya, Kate Middleton meninggalkan majlis perkahwinan rakan mereka di Kampung Northleach, England.


LONDON - Pewaris kedua takhta Britain, Putera William yang bertunang dengan kekasihnya, Kate Middleton akan berkahwin pada musim panas tahun depan di London.
Perkahwinan diraja itu telah ditunggu-tunggu oleh rakyat Britain sejak bertahun-tahun lalu.
Pengumuman itu yang dibuat oleh beberapa pegawai istana semalam sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi mengenai hubungan mereka.
Putera William dan Middleton berkenalan lebih lapan tahun lalu semasa mereka belajar di Universiti of St. Andrews di Scotland.
Menurut kenyataan pejabat bapa Putera William, Putera Charles, pewaris kedua takhta Britain itu bertunang dengan Midlleton pada bulan lalu semasa mereka bercuti di Kenya, Afrika.
Perdana Menteri, David Cameron berkata, beliau gembira dengan berita perkahwinan itu.
Putera William pernah memberitahu bahawa beliau tidak akan berkahwin sehingga umurnya mencecah 28 tahun atau 30 tahun.
Beliau berumur 28 tahun pada Jun lalu dan baru-baru ini cucu pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II itu selesai menjalani latihan dengan pasukan penyelamat Tentera Udara Diraja sebagai juruterbang.
Putera William merupakan anak sulung daripada dua anak mendiang Puteri Diana dengan Putera Charles. Putera Charles merupakan pewaris pertama takhta Britain.
Keluarga diraja Britain dikatakan mengiktiraf hubungan antara Putera William dengan Middleton.
Middleton merupakan anak perempuan seorang jutawan.
Bapa gadis itu pernah bekerja dengan sebuah syarikat penerbangan manakala ibu Middleton menjadi seorang pramugari sebelum mereka memulakan perniagaan menghantar barang terutamanya untuk parti kanak-kanak.
Middleton kini bekerja menguruskan perniagaan ibu bapanya.
Beberapa penganalisis meramalkan bahawa perkahwinan diraja itu akan diadakan pada musim panas bagi mengelak bertembung dengan penganjuran Sukan Olimpik dan Jubli Intan Ratu Elizabeth II yang akan berlangsung pada 2012. - Agensi

No comments:

Post a Comment