Wednesday, November 17, 2010

Solat dekat sampah


Oleh Fazurawati Che Lah

2010/11/16

PENGGUNA tidak selesa melihat longgokan sampah di surau Pasar Segar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Tumpat.
PENGGUNA tidak selesa melihat longgokan sampah di surau Pasar Segar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Tumpat.
Surau di Pasar Segar KADA dipenuhi bahan buangan

TUMPAT: Busuk dan meloyakan. Itulah gambaran di sekitar surau di Pasar Segar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), di sini yang kotor serta meloyakan jemaah ketika mahu mengambil wuduk dan menunaikan solat. 

Lebih menyedihkan apabila kawasan berhampiran surau berkenaan yang menjadi lokasi perniagaan ditimbuni sampah sarap, masalah longkang menjadi saluran sisa kumbahan dari restoran berdekatan.Tinjauan Berita Harian ke lokasi berkenaan mendapati keadaan surau itu begitu kotor dengan keadaan longkang busuk serta dipenuhi lalat sehingga mengganggu jemaah menunaikan solat dengan selesa.
Peniaga, Khairi Hassan, 40, berkata surau berkenaan penting kepada peniaga di Pasar Segar KADA untuk menunaikan solat Asar dan Maghrib berikutan kebanyakan peniaga di kawasan itu memulakan perniagaan pada jam 3 petang. 

“Setiap kali solat Asar dan Maghrib, kami terpaksa menggunakan surau ini kerana sukar untuk meninggalkan kedai dalam tempoh lama, hanya surau ini saja yang dekat dan disediakan KADA," katanya ketika ditemui baru-baru ini. 

Beliau berkata, terdapat juga pelanggan yang datang untuk menunaikan solat Asar terpaksa membatalkan hasrat masing-masing kerana tidak tahan dengan bau dan keadaan persekitaran surau yang terlalu kotor. 

Katanya, musim hujan yang berlaku ketika ini turut memburukkan keadaan kerana kawasan berdekatan pasar dan ditimbuni sampah sarap menjadi lembab sehingga mengundang bau busuk. 
“Setiap kali berwuduk, kami terpaksa menghidu bau yang meloyakan kerana paip air berdekatan dengan saluran longkang yang tersumbat, tetapi kami tidak mempunyai pilihan selain bersabar dan menahan nafas,” katanya. 

Peniaga, Abdul Aziz Omar, 49, berkata kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan terlampau rendah di kalangan peniaga di pasar berkenaan walaupun pihak berkuasa menyediakan tong sampah di luar pasar berkenaan. 

“Kebanyakan peniaga mengambil mudah dengan apa yang dilakukan seperti membuang sampah merata-rata, kita bimbang jika mereka tidak berubah sikap ia akan menyebabkan pelanggan lari disebabkan tidak tahan dengan bau busuk dan masalah kebersihan," katanya. 

Beliau berharap pengurusan pasar melantik pekerja untuk menjaga kawasan surau dan tandas agar kebersihan terjamin dan memberi keselesaan kepada jemaah. 

No comments:

Post a Comment