Sunday, December 12, 2010

Belajar buat laman web


KUALA LUMPUR 10 Dis. - Warga kota kini bukan sahaja boleh mempelajari cara-cara membuat laman web tetapi apa yang lebih menarik ialah kelasnya diadakan secara percuma.
Itulah yang ditawarkan oleh e-Web site.com yang terletak di 22A-3-1, Jalan Megan Setapak, Megan Sri Rampai di sini.
Selain didedahkan mengenai cara membuat laman web sendiri, orang ramai juga akan diajar bagaimana untuk mengendalikan perniagaan secara dalam talian melalui laman web mereka.
Kelas yang diadakan pada setiap Sabtu selama tiga jam itu dikendalikan oleh seorang anak muda, Musaab Mesuri, 26, dan ia berjaya menarik ramai warga kota daripada pelbagai peringkat umur.
Musaab ketika ditemui berkata, kelas itu sudah dibuka di situ sejak hampir dua tahun lalu.
Katanya, kelas itu dibuka kepada semua rakyat Malaysia yang berminat mempelajari cara-cara membuat laman web dan belajar menguruskan perniagaan secara dalam talian.
Katanya, setakat ini, tiada kelas yang menawarkan pembelajaran membuat laman web secara percuma di negara ini.
"Kita akan mengajar mereka dari peringkat asas sehingga mahir membuat laman web sendiri.
"Setakat ini, rata-ratanya mereka yang datang masih tidak tahu bagaimana cara membuat laman web sendiri," katanya.
Namun, kata beliau, mengikut kebiasaan, peserta akan cekap membuat laman web hanya selepas tiga kali menghadiri kelas dan turut mampu menguruskan perniagaan dalam talian.
Sementara itu, Musaab menambah, tujuan kelas itu dianjurkan juga adalah untuk menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan mengenal ilmu teknologi maklumat dan perniagaan dalam talian.
Katanya lagi, kebanyakan pelajarnya terdiri daripada pelajar universiti, pelajar sekolah, ahli perniagaan dan warga emas.
Ujarnya, kelas yang diadakannya pernah dihadiri oleh warga emas yang berusia 75 tahun tetapi masih bersemangat untuk mempelajari cara membuat laman web.
"Sambutan terhadap kelas ini juga sangat menggalakkan, saban minggu pelajar pasti bersilih ganti dan ini termasuk mereka yang datang dari Selangor, Pahang dan lain-lain," katanya.
Seorang pelajar, Murajan Simu, 58, berkata, dia sangat berminat untuk belajar membuat laman web kerana ingin menjalankan perniagaan secara dalam talian selepas ini.
Katanya, dia memang tidak tahu langsung tentang cara membuat laman web sebelum ini tetapi hanya setelah dua kali menghadiri kelas, dia sudah boleh mencipta laman web sendiri.
Malah, katanya, selain menghadiri kelas, pelajar juga diberikan cakera padat sebagai latihan dan belajar secara sendiri dirumah.
"Sekarang saya sudah mempunyai laman web sendiri dan akan meneruskan perniagaan secara online pula selepas ini kerana ia nampak lebih mudah dan cepat," katanya.

No comments:

Post a Comment