Sunday, December 12, 2010
Ibu tunggal enam anak rayu bantuan
KEMANG TIROK - “Saya berhasrat memohon modal pusingan untuk membuka kedai makan yang lebih besar kerana itu sahajalah sumber pendapatan saya untuk menampung keluarga serta perbelanjaan sekolah anak sejak suami meninggal lapan tahun lalu,” demikian kata ibu tunggal enam anak, Rohani Mamat, 41.
Menurutnya, sebelum itu, dia hanya membuka kedai kopi dan pendapatan yang diperoleh tidak seberapa malah bergantung kepada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM200 sebulan.
“Duit bantuan JKM itu saya gunakan untuk membeli barang keperluan di kedai dan perbelanjaan sekolah dua anak iaitu Mohd Khairil yang berada di Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin dan Siti Nur Fatihah yang masih belajar dalam Tahun Enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Serada.
“Itu sahaja yang mampu saya lakukan berikutan hasil jualan kedai kopi tidak mencukupi untuk perbelanjaan kami sekeluarga, apatah lagi empat anak saya yang lain hanya bekerja kampung,” katanya kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Alias Abdullah di kedainya.
Rohani berkata, dia berharap individu yang dermawan dapat memberi modal pusingan untuk dia membesarkan perniagaan kedai kopinya.
Menurutnya, sekiranya dia mendapat bantuan kewangan daripada agensi berkenaan untuk memberi modal pusingan, dia tidak perlu lagi bergantung kepada jiran yang simpati terhadap nasibnya selain mampu meringankan sedikit beban yang ditanggung.
“Status sebagai ibu tunggal menjadikan saya segan minta tolong orang lain tetapi jika terlalu terdesak sehingga terpaksa mengikat perut, saya gagahkan diri meminta pertolongan mereka yang sanggup membantu.
“Kebiasaannya, anak yang bersekolah tidak membawa duit belanja kerana saya tidak mampu untuk memberi mereka duit lebih bagi membeli makanan,” katanya.
Namun, Rohani tetap bersyukur kerana anaknya memahami keperitan hidup yang dilalui dan dia berazam mengubah nasib mereka sekeluarga dengan membesarkan kedainya demi masa depan mereka.
Sementara itu, pada masa sama, Alias sempat menghulurkan bantuan kerana keseluruhan rumah dan kedainya ranap dipukul ribut pada awal Oktober lalu.
Pada masa sama, Rohani turut berterima kasih dengan bantuan dihulurkan kerana kedainya beroperasi semula selain dapat menambah pendapatan seperti sebelumnya.
Labels:
daif
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment