Sunday, December 12, 2010

Rendam mata palsu dua jam sekali




2010/12/12

MUHAMMAD Huzaifah   menunjukkan mata   kanannya yang buta dan digantikan dengan mata palsu.
MUHAMMAD Huzaifah menunjukkan mata kanannya yang buta dan digantikan dengan mata palsu.
KOTA BHARU: "Setiap dua jam saya perlu mengeluarkan mata palsu yang dipakai untuk direndam menggunakan air panas bagi mengelakkan bahagian mata bernanah akibat peluh," luah mekanik, Muhammad Huzaifah Mohd Noor, 20. 

Bekas pelajar jurusan Penyejukbekuan dan Penyaman Udara, Institut Latihan Perindustrian Pengkalan Chepa ini hilang mata kanannya selepas cedera dipercayai terkena serpihan kelongsong gas pemedih mata ketika rusuhan penyokong bola sepak Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV, tahun lalu.
Anak bongsu daripada 12 beradik itu berkata, dia perlu berbuat demikian seperti diarahkan doktor bagi mengelak sebarang masalah berlaku di bahagian matanya jika terdedah dengan peluh.Meskipun pergerakan dan rutin harian terhad kerana perlu merendam mata palsunya dua jam sekali setiap kali memakainya, seperti remaja lain Muhammad Huzaifah masih tetap meluangkan masa bermain futsal bersama rakannya. 

"Biasanya, saya hanya memakai mata palsu ini apabila mahu keluar rumah atau bekerja. Kalau di tempat kerja, biasanya saya akan berbuat demikian... Alhamdulillah majikan dan kawan memahami dan prihatin dengan keadaan saya," katanya ketika dihubungi, semalam. 

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pelajar buta sebelah mata dipercayai terkena serpihan objek daripada gas pemedih mata ketika rusuhan penyokong bola sepak Kelantan di luar Stadium Sultan Muhammed IV tahun lalu. 

Ketika kejadian, Muhammad Huzaifah dari Kampung Pasir Tok Kambing, Kedai Lalat sedang mengemas barangan jualan di gerai minuman milik sepupunya, Abdul Rahman Hussein. 
Mata kanan Muhammad Huzaifah gagal dipulihkan walaupun menjalani pembedahan lebih empat jam di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sejurus selepas kejadian. 

Selain itu, Muhammad Huzaifah berkata, dia terpaksa membelanjakan RM100 hingga RM150 setiap bulan bagi membeli ubat khusus untuk penjagaan matanya. 

No comments:

Post a Comment