Sunday, December 26, 2010

Kejadian misteri hantui balai



KULIM - Balai Polis Trafik Kulim menyimpan pelbagai rahsia alam mistik terutama bagi anggota yang telah lama bertugas di situ.

Ia mula digunakan pada 1906 oleh British sebelum Jepun menjajah Tanah Melayu.

Menurut beberapa peniaga Cina yang masih menjalankan perniagaan kedai kopi di sekitar Balai Polis Kulim dan kini berusia antara 70 hingga 80an berkata, tapak di mana bangunan balai polis itu dibina sememangnya berpuaka kerana ia merupakan tempat di mana puluhan tali barut British diikat dan kemudiannya ditembak beramai-ramai oleh tentera Jepun.

Walaupun alam tiga dimensi ini sukar untuk dipercayai tetapi ia wujud dan kewujudannya bukan hanya mengganggu manusia malah boleh memesongkan akidah mereka yang terlalu taksub dengannya.

Apabila melangkah merentasi dua bilik air di tingkat bawah bangunan kolonial itu untuk menaiki tangga ke tingkat dua, perasaan aneh mula terasa apabila seperti diekori oleh sesuatu.

Sinar Harian bertemu Sarjan Tengku Abd Aziz Tengku Ayob yang pernah mengalami sendiri pengalaman diganggu oleh makhluk halus dan kehadiran lembaga seorang wanita Cina yang berpakaian cheongsam.

Lebih menakutkan apabila bangunan itu pernah dikejutkan dengan suara wanita mengilai, ketawa dan menangis sekitar jam 1 pagi.

Menurut Tengku Abd Aziz, pada 1906, British telah menjadikan bangunan itu sebagai 'Police Station' dan kemudiannya dijadikan Balai Polis Kulim.

Beliau berkata, bangunan itu kemudiannya diubah dan dijadikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim sehinggalah terbinanya bangunan IPD sekarang ini pada 2000.

"Apabila berpindah ke bangunan baru, bangunan lama ini ditinggalkan begitu sahaja dan sekarang ini dijadikan Ibu Pejabat Polis Trafik Kulim.

"Masalah gangguan makhluk halus berlaku sejak dulu dan ia semakin memuncak sekitar 1995. Ketika itu seluruh anggota polis yang bertugas heboh memperkatakan tentang kewujudan seorang wanita Cina berpakaian cheongsam dan ia sering menunjukkan diri. Apabila diekori, wanita itu akan hilang dan disusuli dengan suaranya ketawa dan menangis," katanya.

Menurutnya, lembaga wanita Cina itu mungkin merupakan salah seorang mangsa kekejaman penjajah dan mungkin dia dibunuh secara kejam.

"Ia akan menarik perhatian anggota yang bertugas dan seakan-akan ingin memberitahu sesuatu dan meminta pertolongan.

“Antara kejadian yang tidak dapat saya lupakan adalah ketika bertugas di hari pilihan raya 1998. Saya dan beberapa anggota lain terpaksa bertugas dan tidak balik ke rumah. Ketika saya sedang mandi, saya terdengar suara wanita mengilai dengan kuat di bilik air di tingkat bawah meminta tolong. Saya yang curiga dengan suara itu telah membuat pemeriksaan tetapi tidak ada sesiapa di dalamnya.

"Sehingga ke suatu tahap di mana anggota takut untuk bekerja pada waktu malam kerana sering di ganggu dengan bunyi orang berkawat di dalam pejabat. Selain itu banyak lagi kejadian aneh yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, pada 2001, Ketua Balai Polis Trafik Kulim pernah diganggu oleh makhluk halus atau mistik ketika bertugas di pejabatnya kira-kira jam 1 pagi.

Katanya, ketika kejadian itu, ketua balai berkenaan bekerja bersendirian di biliknya.

"Dia kemudiannya terdengar bunyi orang berjalan di luar pejabat seakan–akan sedang berkawat dan tiba-tiba pintu bilik pejabatnya tertutup serta dikunci dari luar. Menyedari tidak ada sesiapa ketika itu di tingkat atas melainkan dia seorang, dia mengambil pendekatan memujuk makhluk halus yang tadinya mengganggunya untuk membuka pintu. Tidak lama kemudiannya, pintu pejabatnya terbuka dengan sendiri," katanya.

Menurutnya, gangguan makhluk halus ini bukan sahaja berlaku di pejabat tetapi ada dalam kalangan anggota yang diikut sehingga balik ke rumah.

Sementara itu, masalah ini sudah dimaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh dan beliau telah mengadakan bacaan Yasin, solat hajat dan tahlil di tingkat dua bangunan itu pada Ramadan lalu.

Walaupun gangguan makhluk halus telah berkurangan selepas majlis itu diadakan tetapi ia masih ada di mana kadangkala telefon akan berbunyi tetapi apabila diangkat tidak ada sesiapa yang bercakap.

Sehingga kini kemunculan dan kewujudan kejadian mistik yang menghantui Balai Polis Trafik Kulim masih menjadi tanda tanya.

No comments:

Post a Comment