Sunday, December 26, 2010
Penyebar fitnah ADUN Selising berdepan tindakan undang-undang
KOTA BHARU – Pas Kelantan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah kononnya Ahli Dewan Undangan (ADUN) Selising, Pasir Puteh, Drs Saipul Bahrin Mohamad pernah ditangkap kerana berzina isteri orang.
Ketua Penerangan Pas Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya dalam kajian untuk mengambil tindakan itu terhadap mana-mana pengendali blog, penceramah atau mereka yang terbabit dalam penyebaran fitnah itu.
“Jika ada bukti tunjukkan. Penyebaran fitnah ini dakyah politik semata-mata untuk menjatuhkan pemimpin Pas cara tidak bermaruah. Sebelum ini calon ADUN Galas juga pernah menjadi mangsa tetapi apabila Pas kata hendak bertindak, mereka tarik balik dan minta maaf.
“Penyebaran fitnah disedari dalam minggu ini dan ia ditimbulkan semula oleh musuh politik semata-mata untuk membunuh karektor seseorang individu seperti yang berlaku terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan susulan Pas Kelantan ekoran penyebaran fitnah ADUN Selising yang didakwa kononnya ditangkap ‘berzina’ dengan isteri orang dalam koc VIP kereta api ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan.
Menurutnya, perbuatan penyebaran fitnah berkenaan adalah keji kerana ia bukan sahaja boleh menjatuhkan dan memecahbelahkan individu terbabit malah pasangan yang didakwa dalam laman blog berkenaan.
Kelmarin, sebuah laman web melaporkan Drs Saipul Bahrin mencabar mana-mana pihak membawa bukti penglibatan beliau dalam penyebaran fitnah berzina itu.
Cabaran itu dibuat berikutan Umno Online sebelum itu memetik kenyataan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian yang mencabar ADUN Selising sendiri atau pihak Pas supaya memberikan penjelasan mengenai dakwaan itu.
Labels:
fitnah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment