Oleh Mary Victoria Dass
2010/12/20
Anak korban pekerjaan, hanya terima bantuan adik teruskan kehidupanGELANG PATAH: "Saya hanya mampu merenjis air ke muka ayah dan ibu jika mereka pengsan kerana tidak mempunyai kudrat mengangkat atau memapah mereka," kata seorang wanita, Sahdiah Abdul Rahman, 48, di Kampung Bukit Tempurung yang terpaksa memikul tanggungjawab menjaga bapanya, Abd Rahman Jimon, 71, yang menghidap penyakit saraf, Parkinson dan ibunya, Maznah Ja'afar, 70, yang lumpuh di sebahagian anggota badan.
Sahdiah berkata, dia rela berkorban termasuk meneruskan kehidupan membujang selepas ibu bapanya hilang upaya dan memerlukan penjagaan rapi setiap masa sejak lebih lima tahun lalu.Katanya, dia turut hilang punca pendapatan selepas berhenti kerja di sebuah kilang dan kini hanya menanti bantuan dan ihsan adik-beradik serta kenalan keluarga bagi meneruskan kehidupan serba kekurangan di kediaman usang itu."Sebelum ini, saya dapat mengangkat atau memapah ayah dan ibu dari ruang tamu ke bilik jika mereka pengsan, tetapi kini sudah tidak berdaya melakukannya atas faktor kesihatan.
"Berikutan itu, saya hanya mampu merenjis air ke muka ayah atau ibu yang pengsan untuk menyedarkan mereka dan kemudian bergerak sendiri kerana tidak mampu mengangkat mereka," katanya ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Datuk Aziz Sapian.
Hadir sama, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Mohd Faizal Abu Bakar.
Sejumlah bantuan wang turut disalurkan kepada keluarga daif terbabit, selain dibantu untuk mengemukakan permohonan bagi mendapatkan bantuan bulanan JKM mulai tahun depan.
Sahdiah berkata, dia yang juga anak sulung enam beradik tidak mampu membawa ibu bapanya mendapatkan rawatan atau bekalan ubat di klinik kesihatan berhampiran, berikutan tidak mempunyai kemudahan pengangkutan.
Beliau berkata, ahli keluarganya yang juga hidup susah hanya mampu meringankan sedikit bebannya dengan membeli barangan dapur selain lampin pakai buang kepada ibunya.
"Kami pernah terputus bekalan makanan dan hanya makan nasi bersama tempe dan lada bagi mengisi perut," katanya.
Sementara itu, Aziz berkata, permasalahan dialami keluarga berkenaan tidak pernah dikemukakan kepada Biro Kebajikan UMNO dan diketahui selepas pihaknya meninjau rumah sebahagian penduduk di perkampungan itu baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment