Monday, December 20, 2010

Warga Thailand cari adik kandung




PASIR PUTEH – Seorang mualaf warga Thailand, Siti Rohani Abdullah, 42, sudah menghabiskan ribuan ringgit demi mencari adik kandungnya yang sudah terpisah selama 22 tahun.

Beliau yang tinggal di Kampung Gong Tinggi, Semerak, berkata, adiknya yang dikenali sebagai Kam Tui Pan Mi, 39, terpisah pada tahun 1987 apabila beliau dan suami, Mohamad Deraman, 59, berpindah ke Pasir Puteh.

“Pada waktu itu, Kam Tui baru mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki Cina rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Hosun, 40.

“Mereka menetap di Pekan Sungai Golok, Selatan Thailand sebelum kami berpindah tetapi dua bulan kemudian apabila suami saya ke sana untuk berjumpa, mereka sudah tiada,” katanya.

Siti Rohani atau Ari Pan Mai berkata, pada mulanya mereka menganggap adiknya pulang ke kampung halaman di Mae Sai, Thailand tetapi segalanya terbongkar apabila seorang saudara menghubunginya empat bulan lalu memaklumkan adiknya tidak pernah pulang sejak meninggalkan kampung halaman pada tahun 1986.

Beliau berkata, mereka sekeluarga teringin berjumpa adiknya itu terutama ayah mereka, Chai Hoi, 75, yang terlantar sakit akibat serangan angin ahmar kini.

“Saya percaya dan yakin, Kam Tui mungkin berada di negara ini kerana Hosun pernah memaklumkan, dia akan membawa isterinya tinggal di Malaysia.

“Walaupun Kam Tui masih menganut agama Buddha, dia tetap adik saya dan saya akan terus berusaha mencarinya dengan harapan kami berdua boleh pulang bersama ke Mae Sai untuk berjumpa dengan ayah yang sakit tenat,” katanya yang merupakan anak sulung daripada enam beradik manakala Kam Tui adalah anak kedua.

Beliau memohon sesiapa yang mengenali Kam Tui atau pernah berjumpa dengannya supaya menghubungi beliau melalui talian, 013-9850322 atau 019-9389078.

No comments:

Post a Comment