Monday, January 31, 2011

Banjir: Pengantin sedih persandingan dibatalkan



MOHD. Arbain Tolha dan isteri, Raja Hairul Azliza Raja Rosli tetap ceria walaupun banjir menjejaskan majlis persandingan mereka di Kampung Plentong Baru, Johor Bahru, semalam. - Utusan/RAJA JAAFAR ALI


JOHOR BAHRU 30 Jan. - Siapa sangka hari bahagia pasangan pengantin baru, Raja Hairul Azliza Raja Rosli dan suami, Mohd. Arbain Tolha yang sepatutnya meriah dengan gelak tawa bertukar sebaliknya apabila banjir melanda kawasan rumah mereka.
Majlis yang sepatutnya bermula seawal pukul 9 pagi di Kampung Plentong Baru itu terpaksa dihentikan apabila air hujan mula membanjiri pekarangan rumah sehingga paras lutut.
Malah, persandingan yang dijadualkan dilangsungkan selepas solat Zohor itu juga terpaksa dibatalkan akibat hujan lebat sejak semalam.
Raja Hairul Azliza, 24, ketika ditemui nyata terkilan dengan kejadian tersebut apatah lagi ia merupakan perkahwinan pertama di dalam keluarganya.
"Sedih sangat sebab segalanya sudah dirancangkan. Kira-kira 1,200 tetamu dijemput untuk meraikan hari bahagia kami. Biar apa pun saya dan keluarga reda dengan apa yang terjadi. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini.
"Ini merupakan kali pertama rumah saya dinaiki air. Selama ini jika hujan sekalipun tidaklah sampai banjir," katanya yang bekerja sebagai jururawat di Pengerang.
Kata beliau, pihaknya terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM10,000 melibatkan penyelenggaraan makanan, pelamin, makan beradab dan perabot.
Sementara itu, suaminya, Mohd. Arbain, 25, yang bekerja sebagai pembantu perubatan di Klinik Kesihatan Lok Heng, Kota Tinggi berkata, hujan renyai sudah bermula sewaktu majlis akad nikah semalam.
Katanya, keadaan bertambah buruk apabila sistem perparitan di kawasan kampung berkenaan tidak diselenggara dengan baik.
"Hujan lebat ini tidak mampu ditampung oleh parit atau longkang yang hanya dalamnya beberapa inci sahaja. Ia memerlukan satu longkang yang besar," katanya lagi.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa lokasi banjir di daerah Johor Bahru dan Pasir Gudang mendapati kawasan rendah mula digenangi air sejak pukul 11 pagi sehingga paras lutut.
Antara kawasan yang terlibat adalah Taman Kota Puteri, Kampung Baru Plentong, Jalan Masai Lama-Kong Kong dan beberapa kampung sekitarnya.
Bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku.
Malah banjir juga dilaporkan mulai surut apabila hujan berhenti kira-kira pukul 2 petang ini.

No comments:

Post a Comment