Monday, January 31, 2011

Cikgu Mala tak mengundi, suami 'muncul' semula



NORMALA Sudirman dan suaminya, Maarof Abd. Mutalib berjalan menemui pengundi di Sekolah Kebangsaan Pekan Air Panas, semalam.


LABIS 30 Jan. - Sejak awal pagi lagi, calon Pas, Normala Sudirman keluar untuk membuat tinjauan di pusat-pusat pembuangan undi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di sini hari ini.
Normala bagaimanapun tidak mengundi hari ini kerana beliau bukan pengundi berdaftar di DUN Tenang, sebaliknya di DUN Kemelah.
Suaminya, Maarof Abd. Mutalib yang 'menghilangkan diri' sejak beberapa hari lalu turut dilihat menemani isterinya itu menemui pengundi di beberapa pusat pembuangan undi.
Kelmarin, Maarof menjadi buruan ramai pihak apabila media mendedahkan beliau mengambil cuti sakit selama 21 hari tetapi pada masa yang sama dilihat membantu isterinya berkempen siang dan malam.
Normala yang ditemui pemberita berpuas hati dengan perjalanan proses pembuangan undi hari ini.
Beliau berkata, meskipun hujan lebat sejak awal pagi, namun para pengundi tetap keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk memilih wakil rakyat mereka yang baru.
"Semuanya berjalan dengan baik. Saya sendiri keluar meninjau pusat pembuangan undi dan gembira dapat berjumpa dengan para pengundi," katanya.
Normala yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mala berkata, pihak berkuasa terutamanya polis telah menjalankan tanggungjawab dengan baik bagi memastikan kawasan pusat pembuangan undi selain trafik berjalan dengan lancar.
Beliau turut meluangkan masa meninjau ke beberapa kawasan kampung yang dinaiki air berikutan limpahan air sungai akibat hujan lebat.

No comments:

Post a Comment