Sunday, January 23, 2011

BN lawan Pas di Tenang



Calon Barisan Nasional, Mohd. Azahar Ibrahim dan lawannya, Normala Sudirman yang mewakili Pas melambaikan tangan kepada penyokong masing-masing selepas proses penamaan calon selesai di Pejabat Majlis Daerah Labis, Johor, semalam.


LABIS 22 Jan. - Seperti yang dijangka, Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 30 Januari ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dengan Pas.
Calon BN, Mohd. Azahar Ibrahim, 39, akan ditentang calon Pas, Normala Sudirman, 38.
Mohd. Azahar tiba di pusat penamaan calon di Pejabat Majlis Daerah Labis (MDL) kira-kira pukul 8.50 pagi diiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan barisan pucuk pimpinan UMNO serta komponen BN bagi mengemukakan borang pencalonannya pukul 9.02 pagi.
Pencalonan Mohd. Azahar, bekas Penolong Pegawai Daerah Kecil Rengit dicadangkan Ma Chong Pah @ Mar Chong Pah dan disokong oleh C. Jayaraman.
Sebelum itu, calon tersebut di samping Muhyiddin, Abdul Ghani dan pemimpin lain berarak bersama-sama kira-kira 15,000 penyokong sejauh kira-kira 300 meter dari Wisma MCA di pekan ini menuju pejabat MDL.
Lapan minit selepas ketibaan Mohd. Azahar, Normala yang diiringi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa pemimpin pakatan pembangkang menyerahkan borang pencalonannya.
Calon pembangkang itu turut diarak orang kira-kira 8,000 penyokong sejauh hampir satu kilometer.
Pencalonan Normala yang merupakan bekas guru dicadangkan Mahat Jamin dan disokong oleh Rosiah Ahmad.
Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Tenang, Md. Asri Amir berkata, dalam tempoh penyerahan borang pencalonan bermula pukul 9 hingga 10 pagi, hanya calon BN dan Pas menyerahkan borang pencalonan masing- masing.
Menurutnya, sebaik sahaja tamat tempoh bantahan selama sejam bermula pukul 10 hingga 11 pagi, pihaknya menerima tiga bantahan terhadap dua calon yang bertanding.
Namun beliau berkata, ketiga-tiga bantahan itu ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Justeru, dengan ini saya mengumumkan Normala Sudirman daripada Pas dan Mohd. Azahar Ibrahim daripada BN diterima bertanding pada Pilihan Raya Kecil DUN Tenang. Hari pengundian adalah pada 30 Januari ini," katanya mengumumkan calon berkenaan selepas tempoh bantahan tamat.
Pilihan raya kecil kawasan itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Sulaiman Taha, 59, akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis pada 17 Disember lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Sulaiman mempertahankan kerusi berkenaan apabila menewaskan calon Pas, Mohd. Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

No comments:

Post a Comment