Thursday, January 6, 2011

Rayu siapkan jalan tar

Berita Harian Online | Rayu siapkan jalan tar


Oleh Junita Mat Rasid

2011/01/06

Kerja naik taraf laluan sepanjang 6km sejak setahun lalu masih terbengkalai

LABIS: Penduduk Kampung Orang Asli Segamat Kecil di sini, meminta kerajaan mempercepatkan kerja naik taraf laluan masuk ke kampung itu sejauh kira-kira enam kilometer (km) menerusi FELDA Redong sebagai kemudahan kepada penduduk termasuk pelajar terpaksa berulang alik ke sekolah berhampiran.

Kampung itu terletak kira-kira 34km dari bandar Segamat, termasuk laluan sejauh 7km laluan berturap antara jalan utama ke FELDA Redong, manakala 6km laluan jalan tidak berturap sehingga ke kampung itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Orang Asli Segamat Kecil, Lias Hassan, 65, berkata kerja menaik taraf laluan itu sudah dijalankan sejak tahun lalu tetapi sehingga kini belum siap sepenuhnya menyebabkan penduduk terpaksa melalui laluan berdebu dan berlopak setiap kali hujan.
“Kemudahan laluan sepanjang kira-kira 6 km itu adalah satu-satunya jalan masuk ke kampung ini yang terpaksa digunakan 560 penduduk di sini untuk berulang alik ke bandar atau pelajar yang bersekolah di Sekolah Menengah (SM) Tenang Stesen yang terletak di laluan utama,” katanya.

Katanya, selain masalah laluan masuk ke kampung itu, pihaknya juga berharap supaya kerajaan membina lebih banyak Rumah Mesra Rakyat kepada masyarakat Orang Asli untuk membolehkan golongan itu keluar daripada kehidupan yang susah.

“Kampung ini mempunyai 156 rumah dan ada yang dibina melalui PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin) namun masih ada lagi keadaan rumah yang terlalu uzur. Kami berharap kerajaan meluluskan projek pembinaan Rumah Mesra Rakyat kerana kami berkeupayaan membayarnya secara ansuran,” katanya.

Katanya, penduduk juga berharap sebuah balai raya untuk kegunaan masyarakat setempat dibina di kampung itu kerana sebelum ini mereka tidak mempunyai tempat khas bagi menjalankan pelbagai program sehingga terpaksa menumpang kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Segamat Kecil yang dilihat tidak bersesuaian kerana boleh menjejaskan kebersihan dan keselesaan murid.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Segamat Kecil, Mamat Mohd Yassin, 37, berkata, pihaknya dan masyarakat Orang Asli kampung itu berterima kasih kepada kerajaan yang membina dua blok bangunan empat tingkat sekolah berkenaan tetapi pada masa yang sama meminta supaya laluan masuk ke kampung itu dibaik pulih dengan segera bagi memudahkan anak mereka menyambung pelajaran ke sekolah menengah yang terletak di luar kampung berkenaan.

“Bukan saja penduduk kampung, malah guru SK Segamat Kecil juga terpaksa bersusah payah melalui jalan yang becak setiap kali hujan dan berhabuk ketika musim panas sehingga menyebabkan tidak selesa,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap usaha membaik pulih laluan masuk ke kampung itu dapat dijalankan secepat mungkin bagi memberi keselesaan kepada masyarakat setempat dan mereka yang berulang alik ke kampung berkenaan.

No comments:

Post a Comment