Thursday, February 24, 2011

18 juta saman kesalahan lalu lintas belum dijelaskan



PUTRAJAYA - Sebanyak 18 juta saman membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas yang dikeluarkan sejak 2000 hingga 2009, belum dijelaskan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan, berkata semua saman itu dikeluarkan JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Daripada jumlah itu, PDRM mencatat jumlah saman tertunggak paling tinggi iaitu 15.6 juta, DBKL (1.8 juta) dan JPJ (608,070).

Sehubungan itu, Solah menasihati orang ramai supaya tidak menunggu sehingga saat akhir untuk menyelesaikan saman tertunggak dan menikmati kelonggaran yang akan berakhir Isnin ini.

“Masalah tempat pembayaran tidak boleh timbul kerana saman polis dan JPJ boleh juga dibayar di lebih 600 pejabat pos di seluruh negara. Jangan hanya tertumpu di ibu pejabat JPJ atau Ibu Pejabat Polis Daerah untuk membayar saman,” katanya pada sidang akhbar, di sini, semalam.

Beliau turut memaklumkan sepanjang tempoh 11 hingga 17 Februari lalu, sejumlah 1,227 saman JPJ dijelaskan, PDRM (113,447) dan DBKL (35).

Dalam perkembangan berkaitan, Solah berkata, kadar baru kompaun bagi kesalahan lalu lintas yang berkuat kuasa 1 Mac ini akan diseragamkan di ketiga-tiga agensi.

Beliau berkata, kadar itu terpakai bagi kesalahan pada atau selepas 1 Mac dan pesalah yang disaman JPJ serta PDRM akan disenarai hitam daripada memperbaharui cukai jalan dan lesen.

“Mengikut Akta JPJ yang baru, senarai hitam ini hanya untuk JPJ dan polis.

Buat masa ini, mekanisme ini belum ditetapkan untuk DBKL serta jabatan dan agensi penguatkuasaan lain,” katanya yang tidak menolak kemungkinan pesalah trafik akan turut disenaraihitamkan jika saman jabatan dan agensi berkenaan tidak diselesaikan.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha mengumumkan kadar baru bagi empat kategori kesalahan dengan kompaun minimum RM40 dan maksimum

RM300 bagi kelas kenderaan jenis motosikal 250cc dan ke bawah, serta kelas semua jenis kenderaan lain. - Bernama
SH

No comments:

Post a Comment