Thursday, February 24, 2011

Pesawat TUDM sudah ke Libya


Oleh Faiza Zainudin dan Meor Hisham Zulkifli

2011/02/24

PENUNJUK perasaan mengoyak Buku Hijau tulisan Gaddafi di Tobruk, Libya.
PENUNJUK perasaan mengoyak Buku Hijau tulisan Gaddafi di Tobruk, Libya.
Operasi menyelamat, bawa pulang 190 rakyat Malaysia bermula

KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah menghantar sebuah pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk operasi menyelamat dan membawa pulang 190 rakyat Malaysia di Libya yang kini dilanda kebangkitan rakyatnya mendesak pemimpin mereka, Muammar Gaddafi meletakkan jawatan.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, pesawat itu sudah mendarat di Slovakia sebelum ke Rome, Itali serta ke Lapangan Terbang Tripoli, Libya.
Bagaimanapun, kerajaan belum menerima hak mendarat daripada pihak berkuasa negara berkenaan bagi membawa pulang rakyat ke tanah air.
“Kita faham keadaan di sana agak kelam kabut dengan lapangan terbangnya ditutup. Namun, usaha perlu dilakukan untuk memindahkan rakyat dari pejabat kedutaan di Tripoli ke negara berdekatan seperti Itali atau Dubai yang dijadikan sebagai pusat transit.

“Bila mereka dipindahkan bergantung kepada kebenaran pihak berkuasa negara berkenaan dan mungkin mengambil masa seminggu atau lebih,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Laporan sebelum ini yang memetik kenyataan Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay, operasi menyelamat rakyat Malaysia di Libya mungkin akan menggunakan laluan darat jika opsyen laluan udara gagal dilaksanakan.

Pertumpahan darah di negara Afrika Utara itu terus meningkat kepada 400 orang apabila Gaddafi mengarahkan tentera menyerang rakyat yang melakukan protes antikerajaan menggesa beliau berundur selepas 42 tahun memerintah.
Tindakan Gaddafi dikecam masyarakat antarabangsa yang mendesak beliau menghentikan keganasan terhadap penunjuk perasaan. Keadaan di negara itu dilaporkan semakin bergolak dengan penunjuk perasaan menyerang bangunan kerajaan serta merosakkan lapangan terbang Benghazi ketika ramai warga asing mula meninggalkan negara itu.

Sementara itu, sumber Kementerian Luar dan Kedutaan di Yaman menyatakan, seramai 646 rakyat Malaysia termasuk 550 pelajar dilaporkan selamat walaupun keadaan di negara Teluk itu dilaporkan tidak menentu.

“Sebenarnya keadaan di Sana’a tidak seburuk seperti yang dilaporkan media di sana. Bagaimanapun, kita sudah mengarahkan rakyat Malaysia di sana mengambil langkah berjaga-jaga termasuk segera menghubungi kedutaan jika keselamatan mereka terancam,” katanya.
Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment