Thursday, February 24, 2011

‘Bencana kali ini lebih dahsyat’


Oleh Zanariah Abd Mutalib

2011/02/24

Rakyat, pelajar kita terselamat cerita saat cemas gempa di Christchurch

KUALA LUMPUR: Menyorok di bawah meja dan melompat dari basikal antara pengalaman dilalui rakyat Malaysia ketika cuba menyelamatkan diri dalam gempa bumi berukuran 6.3 magnitud yang menggoncang Christchurch, New Zealand, kelmarin.

Mereka menyifatkan bencana kali ini lebih dahsyat berbanding September tahun lalu kerana bukan saja menyebabkan kemusnahan lebih besar, malah mengorbankan nyawa penduduk.
Afida Sohana Awang Soh, 34, doktor di Christchurch Woman Hospital, Lyttleton, berkata kejadian berlaku ketika beliau melakukan kerja pentadbiran dan menyedari bangunan mula bergegar menyebabkan buku di atas rak jatuh menimpanya.
“Saya terus berlindung di bawah meja dan pada masa sama melihat kepulan debu memenuhi ruang udara .

“Selepas gegaran berhenti, saya keluar untuk melihat keadaan pesakit,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Afida berkata, paling menyayat hatinya apabila melihat bayi berusia 10 bulan parah dihempap televisyen akibat gegaran itu, gagal diselamatkan.

“Kami kini menghadapi masalah bekalan air dan elektrik, selain paip kumbahan pecah,” katanya yang menumpang di rumah rakan kerana keadaan dalam rumahnya berselerak disebabkan gempa bumi itu.
Sementara itu, pelajar perubatan, Mohd Faried Anwar, 24, berkata beliau berbasikal pulang ke rumah apabila tiba-tiba melihat tanah ‘beralun’ dan tiang elektrik bergoyang.

“Saya terus melompat dari basikal dan melihat penduduk berdekatan bertempiaran lari keluar rumah.

“Selepas gegaran berhenti kira-kira 15 saat kemudian, saya bergegas pulang dan bersyukur rakan selamat dan rumah tidak mengalami kerosakan teruk,” katanya.
Pelajar geologi, Nazmi Aizat Azizan, 22, berkata beliau yang berada di rumah menunggu sehingga gegaran berhenti sebelum keluar ke tanah lapang.

“Mujur kami diajar langkah keselamatan dan saya memang terkejut dengan gempa bumi ini kerana baru saja memulakan kuliah Isnin lalu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di New Zealand, Dr Rosli Mohammed, berkata beliau sudah bertemu dengan 15 wakil pelajar dari Universiti Canterbury, Universiti Otago dan Universiti Lincoln di pusat operasi sementara di bangunan konsulat Malaysia di Christchurch, tengah hari semalam.
“Semua pelajar berada di rumah masing-masing dan wakil diminta melakukan kiraan jumlah mereka, selain memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan terkawal,” katanya.
Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment