Friday, February 18, 2011

Bapa harap ada cara sembuh



KUALA KETIL – Pasangan suami isteri dari Kampung Padang Kulim dekat sini sedih dan sebak melihat penderitaan anak bongsu mereka yang dilahirkan dalam keadaan tidak sempurna apabila kepala anak perempuan mereka itu kian membesar sejak dilahirkan pada Januari 2010.

Tidak sanggup melihat anak mereka, Nur Umairah berumur setahun sebulan menderita, pasangan itu berharap teknologi perubatan sekarang mampu mengubati penyakit anaknya itu.

Bapanya, Mohd Zaidi Abd Rahman, 35, berkata, anak perempuannya itu dilahirkan dalam keadaan kepala besar, namun saiznya tidak sebesar sekarang yang kini telah mencecah berat lebih 10 kilogram (kg).

Menurutnya, pada mulanya dia tidak sanggup melihat anaknya menderita menanggung kesakitan jika menjalani sebarang rawatan memandangkan umur anaknya ketika itu masih kecil.

“Namun, sekarang dia telah setahun satu bulan dan apabila melihat keadaannya begini, hati saya sebak dan berharap masalah yang ditanggungnya akan berakhir jika teknologi perubatan sedia ada sekarang mampu merawatnya.

“Saya dimaklumkan terdapat alternatif untuk mengecilkan kepala anak saya in melalui dua kaedah iaitu pembedahan atau menggunakan saluran tiub yang ditebuk pada bahagian kepala untuk membuang cecair sedikit demi sedikit,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Zaidi berkata, walaupun terdapat kaedah perubatan yang boleh membantu, namun peluang yang ada hanya tipis sahaja dan dia berharap masih ada cara untuk anaknya kembali sihat.

Menurutnya, dia dan isterinya berserah kepada pihak hospital untuk mengesahkan keadaan anak mereka itu sebelum sebarang rawatan lanjut dilakukan supaya anaknya dapat menjalani kehidupan normal sama seperti kanak-kanak lain.

Sementara itu, isterinya, Norbaizura Dol, 30, berkata, dia menghadapi kesukaran apabila ingin mendukung bayi perempuannya itu memandangkan saiz kepala yang berat dan besar serta bimbang akan menyakiti anaknya.

“Setiap kali mendapatkan rawatan atau pemeriksaan di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani, kami mengusungnya menggunakan ‘stroller’, tetapi saiz kepala yang semakin membesar menyebabkan alat berkenaan tidak lagi muat untuk anak saya.

“Saya sedih melihat keadaan anak saya ini dan sentiasa berdoa agar dia boleh meneruskan kehidupan seperti insan normal pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Prihatin Kemiskinan dan Pendidikan Kedah (YPKPK), Zuraidi Rahim berkata, bagi membantu bayi itu, pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan dan Hospital Baling dan Sungai Petani.

Menurutnya, dia berharap dapat menolong bayi itu dan mencari kaedah terbaik sama ada untuk menjalankan pembedahan atau menebuk kepala bayi itu untuk membuang kandungan air dalam kepala.

“Semua ini akan dilakukan selepas menerima laporan hospital dan yayasan akan membantu Nur Umairah untuk meneruskan kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.

“Malah, kita akan terus memantau keadaan bayi ini termasuk keluarganya yang mana pasangan suami isteri berkenaan masih mempunyai dua lagi anak yang bersekolah,” katanya.

Zuraidi berkata, bagi meringankan bebanan itu, yayasan akan menghulurkan bantuan persekolahan sebanyak RM1,000 setahun untuk kegunaan dua anak pasangan itu.

Dua lagi anak pasangan berkenaan yang masih bersekolah ialah Mohd Aiman Hakimi, 8, dan Mohd Aiman Hayqal, 6.

Sesiapa yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh berhubung dengan Norbaizura menerusi talian 012-4045076 atau menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Norbaizura Dol yang bernombor 0711129000100633.
SH

No comments:

Post a Comment