KAHERAH 12 Feb. – Seluruh Mesir bertukar merayakan ‘pesta kemenangan rakyat’ sejurus pengumuman pengunduran diri Presiden Hosni Mubarak diketahui kira-kira pukul 6 malam (12 tengah malam di Malaysia) semalam.
Ratusan ribu rakyat Mesir yang membanjiri Dataran Tahrir sejak pagi, telah disertai oleh ribuan lagi orang ramai di sebelah petang, yang mengambil kesempatan daripada hari cuti mingguan Jumaat.
Utusan Malaysia yang berada Dataran Tahrir sudah berkira-kira untuk pulang (lazimnya tempoh berkurung bermula pukul 8 malam) ketika berita tersebut diumumkan dan ia disampaikan bagai api yang marak kepada ribuan orang di situ.
Secara spontan, mereka berteriak, berpeluk-pelukan dan menari-nari sambil mengibarkan bendera merah, putih dan hitam Mesir.
Ini adalah satu perkembangan yang tidak diduga setelah sehari sebelumnya, Mubarak mengecewakan ramai rakyat apabila menegaskan dirinya tidak akan berundur. Malah, kedegilannya itu dikhuatiri akan menyebabkan penentang kerajaan bertindak liar.
Syukur, tiada kejadian buruk berlaku di Dataran Tahrir atau Istana Presiden di Heliopolis yang telah dikerumuni oleh beberapa ratus penunjuk perasaan.
Suasana perayaan di Dataran Tahrir gegak gempita dengan sorakan dan keriangan pelbagai lapisan rakyat Mesir di situ.
Pengalaman menyokong pasukan Malaysia menewaskan Indonesia di Stadium Nasional pada November lalu tidak akan dapat menyamai suasana kemenangan di Dataran Tahrir. Ini adalah kemenangan rakyat, kemenangan demokrasi. Tiada gol boleh menyainginya.
Sepanjang perjalanan pulang ke hotel, orang ramai membunyikan hon, mengibarkan bendera dan jalan di hadapan hotel yang malam tadi ditutup oleh tentera, kini bebas digunakan oleh penduduk Mesir.
Bagaimanapun, pos kawalan tentera yang betul-betul bersebelahan hotel penginapan masih ada, dengan anggota tentera berdiri memerhati sahaja orang ramai bersorak riang.
Namun, orang ramai memberhentikan kenderaan di pos kawalan dan mendapat kebenaran untuk bergambar dengan anggota tentera di situ.
Sepanjang malam, pos kawalan itu menjadi tumpuan termasuk dua pasangan pengantin yang turut bergambar dengan mereka.
Meskipun masih menjinjing senjata, anggota tentera kelihatan lebih tenang dan melayan siapa sahaja yang mahu bergambar dengan mereka.
Mingguan Malaysia sendiri sebelum ini, buat-buat tidak tahu sahaja bila direnung oleh mereka.
Jelas wujud suatu bentuk perasaan ‘hormat’ terjalin di antara orang ramai dengan anggota tentera.
‘‘Ini kerana sepanjang tempoh tunjuk perasaan di Dataran Tahrir, pihak tentera dianggap sebagai wira berbanding polis yang menembak dan menahan aktivis di situ.
‘‘Malah sepanjang 18 hari tunjuk perasaan, tentera telah mempamerkan ‘pendirian berkecuali’ iaitu tidak menyebelahi mana-mana pihak. Ini penting dan dihargai oleh rakyat,” kata seorang lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai Mahmoud.
Satu-satunya perkara yang masih menghantui Kaherah sejak wartawan Malaysia tiba lebih seminggu yang lalu ialah akses Internetnya yang ‘masih tiada’. Nampaknya pemergian Mubarak tidak disedari oleh pengendali Internet Mesir. - MINGGUAN
No comments:
Post a Comment