Sunday, February 6, 2011

Nik Aziz setuju berdialog




2011/02/05

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam, bersetuju untuk bersemuka serta berdialog dengan semua pihak termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan jika tidak berpuas hati terhadap kenyataannya dalam usaha menjernihkan isu berbangkit yang dianggap kontroversi. 

Bagaimanapun, Menteri Besar itu memberi syarat, dialog berkenaan hendaklah berlandaskan al-Quran dan ia juga harus dijadikan sebagai ‘orang tengah’ dalam pertemuan itu nanti.
Katanya, tiada guna jika beliau berdialog dengan pihak terbabit tanpa bersaksikan al-Quran kerana pertemuan itu akan hilang panduan dalam mencari kebe-narannya.
“Saya bersetuju benar kalau ada orang hendak berdialog kerana ajaran Islam meminta umatnya berdebat atau berdialog dan ia hendaklah dilakukan dengan cara terbaik. Berdialog dan berhujah ini adalah ajaran agama (Islam), saya bersedia bertemu mereka. 

“Saya meminta pada dialog itu nanti, hendaklah pegang (berpegang) kepada al-Quran iaitu dengan menjadikan al-Quran sebagai orang tengah, kalau berdialog saja tanpa panduan (al-Quran), tidak boleh," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Dataran Ilmu, di sini, semalam. 

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang meminta Majlis Fatwa Kebangsaan mengkaji kenyataan kontroversi Nik Aziz sebelum keadaan menjadi lebih keruh serta huru-hara nanti. 

Isu ini berbangkit apabila Nik Aziz mengeluarkan kenyataan mengelirukan umat Islam ketika berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, baru-baru ini, dengan mengatakan mereka yang tidak menyokong PAS ialah jahiliah. 
Sebelum itu, Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan, Mohd Noor Deris meminta Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja mengkaji kenyataan Nik Aziz itu yang didakwa merosakkan akidah serta memecahbelahkan perpaduan umat Islam di negara ini. 

No comments:

Post a Comment