Sunday, February 6, 2011

Pengantin ceria Sultanah Johor sertai majlis akad nikah





2011/02/06


  • Foto
    RAJA Zarith Sofiah makan bersama mangsa banjir selepas meluangkan masa melawat pusat penempatan banjir di IKBN Pagoh, semalam.
  • Foto
    PASANGAN pengantin, Hishamuddin dan Nurul Liyana menaiki kenderaan pacuan empat roda bersalaman dengan penduduk ketika meninjau keadaan banjir di kampung mereka di Pagoh, semalam.
  • Foto
    MOHD YUNUS dan Nur Huda bergambar bersama tetamu cilik di dalam banjir di Kampung Parit Penghulu, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, semalam.
PAGOH: Kesedihan sepasang pengantin yang terpaksa melangsungkan pernikahan di pusat pemindahan banjir terubat dengan kehadiran isteri Sultan Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, yang meninjau mangsa di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pagoh, di sini semalam.

Pasangan pengantin, Hishamuddin Darwis, 30, dari Kampung Terus dan Nurul Liyana Sakiman, 21, dari Kampung Sri Tanjung, terpaksa menangguhkan kenduri dan persandingan mereka, sebaliknya hanya mengadakan majlis pernikahan serba ringkas selepas rumah mereka yang terletak berhampiran pekan Panchor ditenggelami air menyebabkan keluarga masing-masing dan penduduk kampung berpindah.
Raja Zarith Sofiah yang sedang melawat mangsa banjir dan menyampaikan bantuan di Dewan Karisma, IKBN, bergegas ke Masjid At-Taqwa yang terletak bersebelahan dewan terbabit sejurus mendapat tahu ada mangsa banjir yang berlindung di situ melangsungkan pernikahan.
Baginda menunjukkan keprihatinannya dengan menemani dan berada bersebelahan Nurul Liyana ketika pasangannya, Hishamuddin melafazkan akad nikah yang dikendalikan Naib Kadi Panchor, Mohd Taib Mohamad dengan turut dihadiri keluarga terdekat pasangan berkenaan, dalam majlis yang diadakan kira-kira jam 11.30 pagi.

Nurul Liyana ketika ditemui pemberita berkata, rasa sedihnya kerana terpaksa menangguhkan majlis kenduri dengan hanya mengadakan majlis pernikahan serba ringkas itu, sedikit sebanyak terubat dengan kehadiran isteri Sultan Johor itu.

"Rasa sedih kerana majlis perkahwinan terpaksa ditangguhkan seolah-olah hilang apabila saya melihat Tuanku datang ke majlis ketika saat saya dinikahkan, malah Tuanku sempat berpesan supaya saya bersabar, jaga diri dan suami," katanya.

Nurul Liyana berkata, banjir yang melanda kawasan itu menyebabkan keluarganya dan mentua terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM16,000 apabila semua kelengkapan termasuk khemah dan pelamin ditenggelami air. 
Sementara itu di BATU PAHAT, Walaupun tetamu serta pasangan pengantin terpaksa mengharungi banjir, majlis perkahwinan pasangan Mohd Yunus Othman, 31, dan Nur Huda Jabar, 31, tetap berlangsung meriah di Kampung Parit Penghulu dekat Parit Sulong, di sini, semalam. 

Majlis perkahwinan pasangan terbabit tidak terjejas dan tetap diteruskan mengikut adat istiadat Melayu termasuk mengadakan upacara makan beradat.
bharian

No comments:

Post a Comment