Sunday, February 6, 2011

'Nyawa kami di hujung parang'




Daripada Nazmi Yaakub di Kaherah, Mesir
bhnews@bharian.com.my
2011/02/05


  • Foto
    PENDUDUK mengibarkan bendera dan sepanduk ketika rusuhan di sekitar bandar raya Kaherah.
  • Foto
    NAZMI bersama wartawan NSTP, M Hamzah Jamaluddin (dua dari kiri); Fauzan (tengah); jurugambar TV3, Aji Saregar (kiri) dan Razali di Kaherah.
Petugas media ditahan empat kali sebelum disiasat di balai polis tentera

NYAWA di hujung parang! Itulah empat jam paling cemas dan mendebarkan bagi saya dan petugas media Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) ketika ditahan empat kali, termasuk penunjuk perasaan bersenjatakan besi dan parang, ketika melakukan liputan pemindahan kumpulan pertama pelajar Malaysia di Mesir di sini, kelmarin.Ketika itu, kira-kira jam 12 tengah hari waktu tempatan, kami dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah ke Hotel Hyatt, berhampiran Medan Tahrir di sini.
Kami mengambil keputusan untuk kembali ke Hotel Hyatt yang terletak kira-kira 40 kilometer dari lapangan terbang dan seorang pemandu teksi hanya dikenali ‘Shohib’ berusia sekitar 40-an yang menawarkan diri menghantar kami ke hotel berkenaan. Bagaimanapun, beliau mengambil laluan berbeza kelazimannya. 

“Saya tahu bandar ini dan saya sudah bertahun-tahun menjadi pemandu. Kalau kita gunakan lebuh raya, kita akan tersangkut dalam kesesakan jalan raya kerana lebuh raya itu betul-betul melepasi Medan Tahrir yang berada di bawahnya,” katanya memberi alasan memilih Terowong Solah Salim.

Apabila keluar daripada Terowong Solah Salim itu, teksi yang dipandu Shohib masuk ke kawasan berhampiran Medan Tahrir tetapi berpusing-pusing mencari jalan pintas ke Hotel Hyatt.

Kebanyakan jalan dihalang penghadang besi selain dikawal sekumpulan lelaki bersenjatakan besi, cota, kayu panjang, tukul, cangkuk besi dan parang. Malah, lebih mengejutkan, ada yang turut disertai kanak-kanak. 
Teksi kami dihalang penunjuk perasaan, tetapi sekatan kali pertama itu hanya membabitkan desakan sekumpulan lelaki supaya kami membuka beg masing-masing atas alasan mahu memastikan kami tidak membawa barangan larangan atau senjata.

Kami bagaimanapun berkeras untuk tidak membuka beg dan akhirnya mereka mengalah, lalu membenarkan kami melepasi sekatan itu. Namun, nasib tidak memihak kami untuk kali kedua setibanya di satu bulatan kira-kira 100 meter dari lokasi pertama terbabit apabila teksi kami sekali lagi diarahkan berhenti.

Pada awalnya, kami berasa agak selamat memandangkan kereta kebal dengan tentera berkawal di sebelah sekatan itu, malangnya kehadiran mereka langsung tiada ertinya yang tidak membantu langsung bagi meredakan ketegangan. Kereta mula dikerumuni penunjuk perasaan yang mencecah sekurang-kurangnya 30 orang. 
Sekali lagi, mereka memaksa kami membuka beg yang dibawa.

Saya cuba berkeras, tetapi apabila melihatkan mereka bersenjatakan besi dan parang, saya akur dan mereka kemudian merampas komputer netbook serta memaksa saya menghidupkannya.

Lelaki berusia sekitar 30-an itu melihat fail dalam komputer itu, sebelum mengangkatnya tinggi seperti mahu menunjukkan apa yang ditemuinya.

Nasib rakan yang juga jurugambar New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Fauzan Jaafar juga sama, apabila begnya turut diselongkar penunjuk perasaan yang turut mengherdiknya sebaik menemui alat pemancar satelit yang didakwa tidak dibenarkan di Mesir. 

Bagi meredakan keadaan runcing itu, saya yang bertutur bahasa Arab, memaklumkan bahawa kami adalah rakyat Malaysia, beragama Islam dan menjadi tetamu Kedutaan Besar Malaysia untuk membuat liputan.

“Ya, ya kami tahu, kami tahu. Tapi kami mahu memeriksa kamu kerana kami jaga keselamatan di sini. Kami mendapat kuasa daripada tentera. Kamu serahkan pasport dan keluar daripada kereta. Kami mahu pastikan kamu bukan orang jahat,” kata pemuda yang bersenjatakan cota.

Bukan saja lelaki dewasa yang menyelongkar beg saya, bahkan kanak-kanak berusia kira-kira 9 tahun yang bersenjatakan parang juga mengarahkan saya membuka beg.

Pada masa sama, kolar baju jurugambar NSTP ditarik kerana penunjuk perasaan itu mahu mengeluarkan kami daripada kenderaan, sebelum leher bajunya sekali lagi ditarik dari belakang.

Selepas melihat Fauzan dan wartawan TV3, Razali Awang ditarik keluar, saya mengambil keputusan keluar, lalu mencari pemandu teksi itu. Saya tidak tahu sama ada Shohib sudah tidak dapat membuat apa-apa atau sengaja tidak mahu tetapi curiga saya mungkin berasas kerana dia mematikan enjin kereta.

Ketika itulah, ada lelaki yang memaksa saya, Fauzan dan Razali menaiki kereta lain. Bagaimanapun, kereta kami tidak bergerak jauh, sebaliknya berhenti kira-kira 50 meter apabila askar pula menahan kami dan pemandunya keluar bercakap dengan askar itu. Ketika itulah, seorang lelaki berusia 30-an yang mengenakan jaket denim dan pistol terselit di pinggangnya, masuk ke sebelah pemandu kereta kami sebelum kereta itu bergerak.

Saat itu, saya tergamam kerana beranggapan kami akan dibawa ke tempat lain untuk ‘dihukum.’ Mujurlah kereta kami betul-betul berhenti di hadapan balai polis tentera, sehingga kami diiring masuk ke dalam bangunan yang berpagar itu.

Dalam balai polis tentera itu, saya melihat kira-kira 10 wartawan asing termasuk dari Republik Chech, Poland, Belanda dan Perancis duduk bersandar di sebuah stor yang diubah suai sebagai lokap sementara.

Lebih dua jam menjadi ‘tahanan,’ kami kemudian disoal siasat salah seorang pegawai. Kami dibebaskan keluar selepas itu dan mengambil keputusan menahan teksi tetapi malangnya tidak sampai 100 meter dari balai itu, kami sekali lagi ditahan kumpulan penunjuk perasaan lain.

Bagaimanapun, drama hampir empat jam berakhir juga apabila rintangan terakhir itu dapat diharungi tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

KRONOLOGI


  • 12 tengah hari: Bertolak dari Lapangan Terbang Kaherah.

  • 12.30: Keluar dari Terowong Solah Salim dan mencari jalan lain ke hotel.

  • 12.35: Teksi ditahan di sekatan pertama penunjuk perasaan. Berjaya lepas.

  • 12.40: Teksi ditahan di sekatan kedua penunjuk perasaan. Dikerumuni 30 penunjuk perasaan. Disiasat dan beg diselongkar. Kumpulan pemberita dipecah dua.

  • 1.10 petang: Pemberita dibawa ke balai polis tentera. Ditahan dengan pemberita asing. Disoal siasat oleh pegawai tinggi.

  • 3.40: Dibebaskan.

  • 3.45: Teksi ditahan di sekatan ketiga dan diarah kembali ke balai polis tentera.

  • 3.50: Polis tentera tidak benarkan masuk, diarahkan keluar. Berjalan kaki selepas teksi enggan hantar.

  • 4.10: Ditahan di sekatan jalan raya oleh tentera. Reaksi mesra. Dibenarkan berjalan keluar.

  • 4.30: Sampai di bulatan pintu masuk Terowong Solah Salim.

  • 4.40: Ambil keputusan patah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.

    INFO

  • Penerbangan membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir ke Jeddah - Jumaat 4 Februari 2011 

    - Penerbangan MAS dari Kaherah (11.25 pagi/7.50 petang)

    - Penerbangan AirAsia dari Kaherah (4.30 petang/10.30 malam)


  • Dua penerbangan pesawat TUDM C-130 dari Jeddah ke Mesir 

    - Berlepas ke Kaherah dan Iskandariah (2 petang

  • No comments:

    Post a Comment