Thursday, March 10, 2011

37 maut di Peshawar

Utusan Malaysia



PETUGAS penyelamat memungut sehelai sejadah dan barangan lain milik mangsa-mangsa yang terbunuh dalam serangan bom ke atas upacara pengebumian di Matani dekat Peshawar, Pakistan, semalam. - AFP



PESHAWAR 9 Mac - Seorang pengebom berani mati Taliban menyerang sebuah upacara pengebumian di Matini, dekat Peshawar di barat laut Pakistan mengorbankan 37 orang dalam satu serangan terbaru militan yang bertujuan melemahkan kerajaan, hari ini.
Upacara pengebumian itu adalah untuk saudara kepada ketua etnik Pashtun yang pro- kerajaan di Peshawar iaitu pentadbir kanan daerah, Siraj Ahmed.
Menurut pegawai dan mangsa yang terselamat, pengebom tersebut menyerang ketika orang yang berkabung sedang bersiap-sedia untuk melakukan sembahyang jenazah.
"Ketika kami sedang bersiap untuk sembahyang, seorang budak lelaki yang membaluti tubuh dengan selendang menuju ke arah kami.
"Orang ramai menjerit ke arah imam untuk menunggunya menyertai kami tetapi apabila dia semakin hampir tiba-tiba dia meletupkan diri," ujar saksi, Mehmood Shah.
Pegawai kesihatan wilayah berkata seramai 37 orang terkorban manakala 52 lagi cedera.
Jenazah yang dikebumikan, Hakeem Khan, memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan tentera awam militia yang dikenali sebagai 'lashkar' dengan bantuan kerajaan untuk menentang militan.
Menurut jurucakap Taliban, Ehsanullah Ehsan, mereka bertanggungjawab atas kejadian pengeboman tersebut.
"Mereka diwujudkan untuk menyebabkan huru-hara, bukannya memastikan keamanan.
"Ahli lashkar dan pasukan tentera menentang kami atas arahan orang Amerika. Kami akan terus menyerang mereka," ujarnya.
Tiada laporan keadaan ketua Pashtun itu sama ada cedera atau turut terkorban dalam letupan itu setakat ini. - REUTERS

No comments:

Post a Comment