Thursday, March 10, 2011

Suami Zakiah enggan lafaz

Utusan Malaysia



Zakiah Anas berbincang dengan Mohamed Yusof Taib di luar Mahkamah Syariah Petaling Jaya, semalam.



PETALING JAYA 9 Mac - Suami pengacara Zakiah Anas, Mohamad Yusof @ Mohamed Yusof Taib masih enggan menceraikan isterinya yang sudah lebih dua tahun tinggal berasingan itu meskipun dinasihati berbuat demikian oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.
Mohamad Yusof, 49, tidak mahu melafazkan talak dalam prosiding permohonan cerai secara baik yang difailkan oleh isterinya itu atas alasan masih sayangkan perkahwinan mereka yang masuk tahun ke-18.
Sebelum itu, Hakim Syarie, Ghazali Ahmad menasihati Mohamad Yusof selaku defendan supaya menceraikan Zakiah selepas mendapati Jawatankuasa Pendamai yang dilantik sebelum ini telah gagal mendamaikan dan memujuk pasangan itu untuk hidup semula sebagai suami isteri.
Bagaimanapun, Mohamad Yusof yang kelihatan beremosi menyatakan, dia tidak mahu menceraikan isterinya kerana sayangkan keluarga dan kasihankan nasib anak-anaknya pada masa depan.
''Ini melibatkan kehidupan saya dan keluarga, ia bukan sekadar sebuah fail mahkamah,'' kata lelaki itu.
Ghazali kemudian menyatakan, nasihat itu bukan datang daripadanya, tetapi ia termaktub dalam Seksyen 47(14) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003.
Permohonan cerai itu difailkan oleh Zakiah mengikut seksyen tersebut pada Januari tahun lalu.
Menurut hakim itu, mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk menasihati dan bukannya memerintahkan defendan berbuat demikian selepas proses perdamaian gagal.
Ketika disoal oleh Ghazali sama ada terdapat perhubungan antara defendan dan Zakiah sepanjang tempoh tinggal berasingan, Mohamad Yusof mengakui mereka tidak pernah berkomunikasi.
''Dalam perkahwinan kamu wujud 'shiqaq' iaitu perbalahan yang berpanjangan.
''Sehubungan itu berdasarkan Seksyen 48(2) enakmen yang sama, saya memerintahkan wakil 'hakam' dilantik bagi membuat keputusan berkenaan rumahtangga kamu,'' katanya.
Menurut beliau, wakil 'hakam' terdiri daripada ahli keluarga atau rakan kedua-dua pihak yang berpengetahuan tentang hukum syarak.
Beliau menetapkan sebutan semula kes itu pada 11 April ini.
Zakiah yang diwakili peguam syarie, Abdullah Anuar Sahri hadir bersama rakannya manakala Mohamad Yusof hadir bersendirian.
Pasangan itu bernikah sejak 18 tahun lalu dan dikurniakan dua anak lelaki, Aiman Muzammil, 17, dan Amir Muzhaffar, 15.

No comments:

Post a Comment