Sunday, March 13, 2011

Enam tahun tunggu sijil lahir



PENGHULU HIM – Seorang ibu hampa apabila sijil kelahiran anaknya yang dinanti sejak enam tahun lalu, gagal dikeluarkan oleh pihak yang berkenaan.

Hafishah Hanafiah, 40, berkata, dia berasa kecewa dengan pihak berkaitan setelah beberapa kali ke pejabat berkenaan untuk bertanyakan sijil kelahiran anaknya yang sudah mencecah enam tahun.

“Saya melahirkan anak pada 16 Ogos 2005 dan selepas itu suami membuat surat beranak anak kami, apabila cukup setahun saya ke pejabat pendaftaran untuk menuntut MyKid, tetapi pekerja di situ memaklumkan bahawa MyKid anak saya tidak boleh dituntut, kerana sijil kelahiran anak disyaki palsu.

“Saya terkejut dan tidak sangka perkara sebegini akan timbul, kerana anak-anak saya yang lain tidak timbul sebarang masalah dari segi sijil kelahiran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, dia berulang alik ke pejabat pendaftaran lebih dari lima kali untuk menyelesaikan masalah itu, namun keputusannya mengecewakan.

“Pihak mereka memberitahu bahawa mereka akan menghantar surat kelewatan sijil kelahiran.

“Namun, sudah genap setahun sijil kelahiran yang dijanjikan masih belum saya terima

"Saya sudah tawar hati untuk menunggu, anak saya sudah enam tahun dan bersekolah di tabika, jadi sijil kelahiran diperlukan untuk masuk ke sekolah rendah,” katanya.

Hafishah berkata, anaknya Wan Muqris Syamri Hadif Wan Salman, 6, memerlukan sijil kelahiran untuk pendaftaran persekolahan kelak.

“Saya mohon kepada pihak yang berkenaan supaya mempercepatkan proses mengeluarkan sijil kelahiran anak saya, supaya dia dapat meneruskannya hidupnya tanpa sebarang masalah,” katanya.

No comments:

Post a Comment