Sunday, March 13, 2011

Mukhriz alu-alukan Anwar saman Tun Mahathir



JITRA - Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir mengalu-alukan tindakan saman Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, berikutan pertuduhan skandal seks yang ditulis bekas Perdana Menteri itu dalam bukunya ‘A Doctor in the House’ yang dilancarkan beberapa hari lalu.

Mukhriz berkata, dakwaan Anwar mengatakan tindakan bapanya menyerang peribadi beliau disebabkan terdesak untuk mempertahankan kedudukan politiknya adalah tidak masuk akal dan cuba menafikan kebenaran.

Menurutnya, sikap Anwar yang melenting setelah salah laku peribadi beliau terdedah, membuktikan dakwaan Dr Mahathir ada kebenarannya dan beliau yakin ayahnya turut mengalu-alukan sebarang tindakan saman.

“Sekiranya ayah saya hendak mempertahankan kedudukan politik anaknya, mengapa ayah saya tidak melakukannya sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri, sebaliknya mengambil masa begitu lama untuk menaikkan saya?

“Bagi saya, apa yang dibangkitkan oleh ayah saya adalah soal kepentingan negara. Bagaimanapun, apa yang dibangkitkan oleh Anwar adalah menyentuh soal peribadi yang hanya bersifat dakwaan semata-mata,” katanya sewaktu ditemui media di Majlis Perasmian Pergerakan Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara, di sini kelmarin.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Turut hadir ialah Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Johari Baharom; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Saad Man; ADUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Jaapar dan barisan Exco Kerajaan Perlis.

Ditanya sama ada pelancaran buku itu adalah untuk membuatkan pihak pembangkang berhadapan dengan perang persepsi berikutan serangan terbaru terhadap Anwar, Mukhriz berkata, itu bukan tujuannya.

Menurutnya, terdapat banyak perkara yang tidak dapat dijelaskan oleh bapanya sewaktu menjadi Perdana Menteri dan pelancaran buku ini adalah untuk memberi ruang kepadanya meluahkan isi hati yang terbuku selama ini.

“Bagaimanapun, sekiranya pemimpin pembangkang menganggap pendedahan dalam buku itu untuk mengurangkan sokongan pengundi terhadap mereka, itu bukan masalah ayah saya dan mereka seharusnya bersedia menerima hakikat kebenaran yang diluahkan,” katanya.

Sebelum ini, portal berita melaporkan kenyataan Anwar yang menganggap tuduhan Dr Mahathir terhadapnya dalam buku itu adalah untuk menutup penyelewengan semasa pemerintahannya dan demi menjamin masa depan politik Mukhriz.

Dalam buku mengenai kisah hidupnya itu, Dr Mahathir sekali lagi mengulangi dakwaan fitnah perlakuan moral Anwar.

Anwar berkata, beliau tidak terkejut dengan pusingan terbaru tuduhan liar Dr Mahathir dan percaya masyarakat celik terhadap motif beliau untuk terus menyerangnya.

Beliau berkata, pembohongan Dr Mahathir terserlah dalam buku itu, khususnya apabila mendakwa beliau tidak menafikan tuduhan liwat terhadapnya apabila perkara itu dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO sebelum dia dipecat dari parti itu.

No comments:

Post a Comment