Sunday, March 13, 2011

Kenduri tukar pilu

myMetro
BALING: “Mak Su (Wan Sarwani) sepatutnya mengadakan kenduri bersama ahli keluarga seperti dirancangnya semalam (kelmarin) tetapi majlis itu tiba-tiba bertukar menjadi pilu dan sedih apabila hanya jenazahnya serta dua anaknya yang tiba.”
Begitu kata Zulkhairi Ishak, 25, anak saudara kepada Wan Sarwani Zainol, 34, yang terbunuh bersama dua anaknya, Muhammad Izwan Hanif Mohd Zainuddin, 9, dan Muhammad Imran Haziq, 3, dalam kemalangan di Kilometer 55 Jalan Raya Timur Barat di Grik, Perak, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, Wan Sarwani bersama Muhammad Imran Haziq dan Muhammad Izwan Hanif mati di tempat kejadian manakala suaminya Mohd Zainuddin Omar, 35, serta seorang lagi anak mereka, Muhammad Iqbal Hakim, 13, cedera parah.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Alza dipandu Mohd Zainuddin terbabas ketika menuruni selekoh dan memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh oleh kereta pelbagai guna (MPV) Toyota Wish dari arah bertentangan.

Zulkhairi berkata, ibu saudaranya menelefonnya untuk bertanya khabar kira-kira dua hari lalu dan memberitahu mahu mengadakan kenduri, malah menghubungi tiga abangnya supaya pulang ke Felda Teloi Timur, Kuala Ketil, di sini, pada hujung minggu.

Katanya, selepas itu ibu saudaranya tidak menghubunginya lagi dan dia pelik kerana biasanya jika mahu pulang ke kampung, Wan Sarwani pasti menelefonnya atau ahli keluarga terlebih dulu.
“Saya bersama bapa saudara lain hanya menanti kepulangan keluarga Mak Su di rumah semalam (kelmarin), malah makanan disiapkan kerana biasanya mereka tiba antara jam 1 atau 2 petang, namun sehingga jam 2 petang kelibat mereka masih tidak muncul.

“Ketika itu saya berasa tidak sedap hati dan percaya mungkin sesuatu yang buruk berlaku kerana telefon bimbit Mak Su tidak berjawab walaupun dihubungi berulang kali, menyebabkan kami sekeluarga bertambah resah.
“Namun, saya terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada Hospital Kubang Kerian, kira-kira jam 5.30 petang memaklumkan Mak Su serta sekeluarga terbabit dalam kemalangan di Grik dan kini berada di Hospital Taiping,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Teloi Timur, di sini, semalam.

Katanya, bapanya memberitahu kelmarin dia bermimpi melihat kematian berlaku, tetapi tidak tahu siapa dan di mana, namun tidak sangka sama sekali mimpi itu petanda mereka kehilangan ahli keluarga.

“Saya sedih dan tidak menyangka akan kehilangan tiga ahli keluarga serentak dalam sekelip masa, tetapi tetap reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Sementara itu, suasana sedih menyelubungi rumah abang mangsa, Ishak Ismail apabila jenazah Wan Sarwani serta dua anaknya, Muhammad Imran Haziq dan Muhammad Izwan Hanif dimandi serta dikapan untuk disemadikan.

Ketiga-tiga jenazah itu kemudian disembahyangkan di Masjid An-Nur kira-kira jam 11 pagi sebelum dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Felda Teloi Timur.

No comments:

Post a Comment