Monday, April 4, 2011

Bantah loji nuklear




PELABUHAN KLANG - Lebih 60 penduduk Klang dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) berhimpun di Jeti Pulau Ketam, di sini pagi semalam sebagai bantahan pembinaan loji nuklear di daerah berkenaan.

Bantahan anjuran Pemuda Pas Kawasan Klang bersama pimpinan PR Klang itu menolak sebulat suara berkenaan pembinaan loji di daerah ini termasuk seluruh Malaysia.

Ketua Penerangan Pemuda Pas Klang, Mohd Prasad Hanif berkata, bantahan itu berikutan kesan negatif kepada rakyat dari segi radiasi.

“Perkara ini amat ditakuti sepertimana yang melanda Jepun baru-baru ini. Kesannya amat besar sehingga boleh melumpuhkan sistem ekonomi, fizikal dan pentadbiran negara,” katanya.

“Kami sarankan Kerajaan mempertimbangkan sumber alternatif terutamanya sumber tenaga solar.

“Dalam usaha ini, pengguna boleh memasang panel solar di bumbung rumah, namun, kelebihan tenaga yang terhasil dari panel tersebut juga boleh dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya.

Beliau berkata, langkah ini turut menguntungkan TNB dan orang ramai selain mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.

“Perkara tersebut harus dilaksanakan terlebih dahulu sebelum kuasa nuklear dipertimbangkan.

Dalam pada itu katanya, Pemuda Pas Klang juga melahirkan kekecewaan terhadap tindakan polis yang tidak membenarkan protes ini dijalankan walaupun secara aman.

Hadir sama, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Ketua PKR Cabang Klang, Yew Boon Lai.

Sementara itu, Charles kesal kerana permit yang dipohon tidak mendapat kelulusan polis.

Charles berkata, pihaknya telah memohon permit Khamis lalu, namun, ditolak tanpa alasan kukuh.

“Tujuan demonstrasi hanyalah untuk menyampaikan mesej kepada kerajaan bahawa rakyat tidak mahu pembinaan loji ini diteruskan terutamanya di kawasan Klang. berikutan ia memberi kesan buruk sekiranya berlaku kebocoran seperti di Jepun.” katanya.

Pada 14 Mac lalu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, kerajaan sentiasa mengamalkan sifat terbuka dan mendengar pandangan rakyat terhadap rancangan mendirikan loji elektrik nuklear di negara ini.

Menurutnya, setiap perkembangan berhubung rancangan itu akan dimaklumkan kepada orang ramai dan hanya dilaksanakan sekiranya terbukti bersesuaian dan diterima rakyat.
SH

No comments:

Post a Comment