Sunday, April 24, 2011

Dua beradik jaga bapa lumpuh



ALOR LIMBAT - Kehidupan seorang warga emas yang kematian isteri 10 tahun lalu di Kampung Binjai Berambu di sini, amat menyayat hati kerana dia hanya mampu terbaring di atas tilam usang akibat lumpuh selepas diserang strok sejak bulan lalu.

Namun, warga emas ini, Mohamad Ali Salleh, 73, amat beruntung kerana mempunyai anak yang bertanggung jawab dan berhati mulia seperti Rosdi Mohamad Ali, 39, dan abangnya, Mohd Mohamad Ali, 52, yang cekal menjaganya setiap hari.

Menurut Rosdi yang bekerja sebagai tukang rumah di sini, dia dan abangnya reda dengan apa yang menimpa bapanya dan sanggup berkorban apa sahaja walaupun dalam masa sama perlu menjaga keperluan isteri dan enam anaknya.

“Kami reda dengan ketentuan Allah ini dan akan menjaganya tanpa mengharap sebarang balasan kerana selama ini bapa sudah banyak berkorban untuk kami 10 beradik,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini, semalam.

Rosdi berkata, rutin hariannya bersama abangnya yang juga bekerja sebagai tukang rumah bermula jam 8 pagi untuk memandikan bapanya itu, seterusnya menggantikan lampin dan menyediakan makan pagi selepas menghantar anak ke sekolah.

Menurutnya, walaupun mereka bekerja dengan pendapatan tidak menentu, tanggungjawab menjaga bapa terpikul di bahu mereka memandangkan adik beradik lain tinggal berjauhan kerana mengikut keluarga masing-masing.

“Walaupun pendapatan kami tidak menentu, tetapi ia cukup untuk menyara keluarga dan menanggung perbelanjaan harian serta kos perubatan bapa yang turut mendapat bantuan RM200 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Sementara itu abangnya, Mohd berkata, malah, bapanya tidak pernah mengharapkan balasan dan sebagai anak, kesusahan hidup bukan alasan untuk mereka mengabaikan keperluan dan tidak menjaga bapa pada penghujung usianya.

1 comment:

  1. Salam, tersentuh hati baca kisah ini. Saya duduk di Kampung Binjai Berambu, tetapi tidak pernah mendengar kisah ini.

    ReplyDelete