Sunday, April 10, 2011

Kartel dalangi rasuah kastam?



KUALA LUMPUR 9 April – Kementerian Dalam Negeri diminta memberi perlindungan sewajarnya kepada para pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan tugas kerana dipercayai terdapat kartel besar di sebalik kegiatan rasuah yang melibatkan kakitangan Kastam Diraja Malaysia.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, secara logiknya pasti terdapat sindiket besar di belakang kegiatan rasuah itu kerana ia melibatkan jumlah wang yang begitu banyak iaitu RM108 bilion setahun.
“Saya khuatir dengan keselamatan pegawai SPRM dan kerana itu saya berharap mereka dapat diberikan perlindungan yang sewajarnya.
“Kita juga sedar terdapat pihak ketiga yang cuba memutarbelitkan usaha SPRM dan mengelirukan rakyat. Mereka mahu menjadi pembela kepada penjenayah rasuah serta sindiket dan bukan pembela kepada pembayar cukai,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga yakin masyarakat boleh menilai tentang kebenaran mengenai kes tersebut.
Zahrain menambah, rakyat mengagumi tindakan SPRM yang berjaya membongkar kegiatan rasuah bernilai RM108 bilion itu kerana jumlah wang berkenaan boleh membina beberapa ratus buah sekolah dan hospital.
‘‘Dengan pembongkaran itu, perasuah mula takut dengan SPRM dan kita mohon Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed akan terus bersikap tegas, berani dan tidak bertolak ansur terhadap usaha membanteras rasuah,’’ ujarnya.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment