KUALA LUMPUR — Polis menahan tiga wartawan, seorang jurugambar dan tiga mahasiswa kerana didakwa menyertai satu perhimpunan tanpa permit di hadapan hab stesen KL Sentral di Brickfields di sini, hari ini.
Tiga wartawan itu adalah dari Keadilan Daily dan seorang jurugambar dari TV Selangor yang berada di situ untuk menghadiri sidang berita program “Jelajah Mahasiswa Selamatkan Rakyat”.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Bari Wan Abdul Khalid berkata kumpulan itu ditahan selepas tidak mengendahkan arahan polis bantuan stesen itu yang meminta mereka bersurai dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi tadi.
Beliau berkata, perhimpunan itu dianjurkan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan disertai hampir 40 mahasiswa dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sekitar lembah Klang.
"Polis menahan mereka sebab mereka mengadakan perhimpunan tanpa permit di stesen itu. Tindakan mereka berkumpul beramai-ramai memberi gambaran buruk terhadap imej stesen KL Sentral kerana stesen ini menjadi tumpuan pelancong,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, mereka kini ditahan di Balai Polis Travers untuk diambil keterangan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis. —Bernama
Kosmo! Online - Terkini
No comments:
Post a Comment