Friday, April 22, 2011

Lumpuh lepas disuntik



BESUT - Sepasang suami isteri sedih memikirkan masa depan anak lelaki mereka yang kini terlantar selepas didakwa menerima suntikan oleh kakitangan kesihatan pada Disember tahun lalu.

Nik Hanisah Ishak, 46, berkata, anaknya Muhammad Muhaimin Yauza, 16, kini hanya terlantar selepas lumpuh sebahagian tubuhnya dan terpaksa dibantu sepenuhnya jika ingin makan atau membuang air besar.

Menurutnya, anaknya, pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pahang, mengalami lumpuh pada 8 Disember tahun lalu apabila pulang bercuti penggal di rumahnya, di sini.

“Anak saya memang sihat ketika pulang ke rumah. Tetapi pada hari terbabit ketika bangun dari tidur, dia mengadu tangan kanannya kebas dan kemudian tidak dapat menggerakkan seluruh tubuhnya.

“Keadaan itu menyebabkan dia terlantar selama dua bulan di sebuah hospital,” katanya yang sentiasa mengalirkan air mata mengenangkan anak lelaki harapannya pada masa depan.

Nik Hanisah berkata, tidak lama sebelum anak kedua daripada empat anaknya itu pulang bercuti, dia ada menerima suntikan di bahu kanan daripada kakitangan Pejabat Kesihatan yang datang ke sekolahnya itu.

Beliau mendakwa, pemeriksaan pegawai hospital mendapati, punca Muhammad Muhaimin lumpuh dipercayai disebabkan kesilapan suntikan.

“Dia kini tidak mampu melakukan apa-apa. Semuanya terpaksa dibantu dan saya meminta agensi berkaitan membantu keluarga menuntut hak jika benar kecuaian yang dilakukan kakitangan kesihatan terbabit,” katanya mengenai anaknya yang kini sepatutnya belajar dalam Tingkatan Empat.

Kata ibu malang itu, bagaimanapun Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh telah melawatnya di rumahnya baru-baru ini, manakala pihak sekolah sering bertanya khabar serta menyumbangkan sebuah kerusi roda.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu termasuk pemimpin peringkat kampung, mukim dan wakil rakyat setempat,” katanya yang terpaksa berhenti menjual goreng pisang memandangkan perlu menjaga anaknya itu manakala suaminya bekerja kampung.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Besut ketika dihubungi mengesahkan sedang memproses untuk mempertimbangkan bantuan bulanan kepada keluarga ini. 

No comments:

Post a Comment