KUALA LUMPUR 21 April - "Saya tidak mahu dilabelkan sebagai suami dayus membiarkan isteri mempunyai hubungan dengan orang lain."
Ini luahan bekas pemain badminton kebangsaan, Jalani Sidek, 48, yang juga suami penerbit kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman, 52, yang selama ini berdiam diri sehingga menyebabkan anak-anaknya mempersoalkan tindakannya itu.
"Kerana hal ini anak-anak saya diejek oleh guru dan rakan-rakan yang mengatakan bapa mereka dayus," kata Jalani ketika ditemui pemberita di Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Jalani yang ditemani isterinya hadir pada sesi soal siasat berhubung dakwaan khalwat, tiba di Bangunan Pusat Islam di sini pada pukul 9.45 pagi, manakala Roslin Hashim, 35, menyusul dua jam kemudian.
Jalani mengulas dakwaan Nurhayati Othman, bekas isteri Roslin yang menuduh Raja Azmi berkhalwat dengan pemain badminton negara itu di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini, 7 Ogos tahun lalu.
Mengulas lanjut, Jalani menegaskan, dakwaan itu tidak berasas bahkan, beliau dan isterinya berhasrat untuk menyaman Nurhayati dan pihak-pihak yang menabur fitnah serta memburukkan nama mereka setelah berbincang dengan peguam syarie Roslizam Rahim yang mewakili mereka.
Roslizam kemudian mengesahkan Roslin dan Raja Azmi dikehendaki hadir pada 19 Mei depan bagi menentukan sama ada mereka akan didakwa di mahkamah atau sebaliknya.
Roslin pula menjelaskan, beliau tidak serik berkahwin lagi namun bimbang tiada wanita yang sudi berkongsi hidup dengannya selepas dilanda pelbagai kontroversi.
Pemain badminton itu mengakui sedih kerana gagal mempertahankan dua perkahwinan dengan Faezah Mohamad, 35, dan Nurhayati, 40, namun nalurinya tetap menanti kehadiran seorang isteri.
Kegagalan tersebut menjadikan beliau lebih berhati-hati pada masa depan dan berharap kebenaran akan muncul suatu hari nanti.
Perkahwinannya dengan Faezah hanya bertahan selama 12 hari manakala tempoh ikatan pernikahan dengan Nurhayati dalam masa sebulan.
No comments:
Post a Comment