Friday, April 22, 2011

Sama Tapi Tak Serupa….


SEBELUM berceloteh lebih lanjut, eloklah penulis menyeru kepada para pembaca agar bertafakur dan berdoa sejenak kepada rakyat dan orang awam yang tidak berdosa di Palestin dan Libya yang pada ketika ini berhadapan dengan cabaran yang amat perit atas sebab suasana tidak aman dan tenteram yang sedang melanda negara mereka.

Harus dan wajib juga kita mensyukuri nikmat keamanan yang sedang kita rasai sekarang di negara kita ini sendiri, walaupun kadang-kadang diganggu-gugat oleh acara “protes” dan tunjuk perasaan tidak rasmi oleh mereka yang berkepentingan.

Penulis sebenarnya mengikuti dengan penuh minat tentang ketidakstabilan dan juga protes “domino” yang sedang menular di Asia Barat dan Timur Tengah ketika ini. Kebangkitan protes yang “kononnya” dipelopori oleh rakyat ini menular dan berkembang di Timur Tengah seperti api yang marak menyala.

Dari sebuah negara ke sebuah negara yang lain, seolah-olah sindrom kebangkitan ini bakal merubah kedudukan geopolitik dan iklim pemerintahan serantau, yang rata-rata berteraskan autokrasi dan teokrasi kekeluargaan kepada suasana yang lebih kondusif dan lebih demokratik.

Walaupun secara asasnya perubahan ini perlu, namun haruslah kita lihat semula sama ada keperluan ini adalah untuk kebaikan ataupun membawa lebih keburukan kepada rakyat di negara-negara yang terbabit. Prinsip demokrasi tidak akan ada maknanya jika dikorbankan kemakmuran dan juga keamanan yang dinikmati ketika ini.

“Democracy for democracy’s sake” tidak lagi membawa erti sekiranya keadaan ekonomi, kemakmuran dan keamanan terancam sehingga rakyat hidup melarat, miskin dan negara menjadi kucar-kacir, tidak stabil, lemah dan dipandang rendah oleh dunia dan selepas itu boleh dicucuk hidung oleh kuasa besar.

Penulis juga tertarik dengan reaksi masyarakat dunia terhadap krisis yang melanda di Timur Tengah terutamanya berkaitan dengan negara-negara Islam di rantau itu. Melihat kepada Mesir, apabila revolusi rakyat menjelma tiba, pihak Barat dilihat pada mulanya “cuba” untuk mententeramkan keadaan dan bersifat neutral.

Namun, melihat usaha ini tidak berjaya dan usaha protes makin kuat, maka pihak Barat terus menerus menyokong usaha protes dan hasilnya Hosni Mubarak pun berundur dari tampuk kuasa, yang mana pada ketika ini kuasa eksekutif di Republik Arab Mesir dipegang oleh Majlis Eksekutif yang dikuasai oleh pihak tentera.

Walaupun niat asal protes ini dilaksanakan adalah untuk menuntut agar Hosni Mubarak berundur dan demokrasi dipulihkan namun demokrasi di Mesir masih jauh dari pandangan. Hasil sampingan dari protes ini, ekonomi Mesir yang banyak bergantung pada pelancongan hampir lumpuh sama sekali kerana pelancong tidak berani lagi ke Mesir atas sebab suasana yang tidak aman.

Malah bila penulis berkunjung ke Mesir baru-baru ini, penulis dimaklumkan juga yang muzium tempat pelbagai khazanah purba Mesir turut dirompak semasa suasana di Medan Tahrir dan Kaherah bergolak. Alangkah ruginya rakyat Mesir akibat dari protes ini!

Lain pula akibatnya apabila protes terhadap pemerintah berlaku di Libya. Berhadapan dengan Kolonel Muammar Gadafi, yang sememangnya dikenali dunia sebagai seorang yang agak keras kepala, rakyat yang memprotes berhadapan dengan tindakan keras dari kerajaan. Maka, berlakulah pertempuran dan pertumpahan darah antara pasukan kerajaan dan pihak pemberontak. Pihak pemberontak yang berjaya menguasai beberapa bandar di luar Tripoli menggesa bantuan dari luar bagi menjayakan usaha mereka menggulingkan Gadafi.

Kali ini respons pihak Barat amat berbeza sekali. Belum lagi resolusi Bangsa-bangsa Bersatu diluluskan, pihak Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya dari NATO telah pun menghantar kapal perang mereka dan bersiap sedia untuk menyerang Tripoli. Satu kawasan larangan penerbangan atau “no-fly zone” dilaksanakan di Libya.

Tentera Gadafi di beri amaran keras untuk tidak menyerang bandar-bandar yang dikuasai pemberontak, tapi sebaliknya pemberontak dibenarkan pula untuk menyerang tentera Gadafi tanpa sebarang tindakan. Bandar Tripoli dan di mana sahaja kawasan yang menyokong kerajaan dibedil dan dibom siang dan malam.

Demikianlah usaha Barat untuk memastikan yang keamanan dan “demokrasi” terlaksana di Libya. Pasukan pemberontak yang disokong Barat, tidak mempunyai hierarki yang tertentu dan sekiranya mereka berjaya menawan Libya, tentunya kepimpinan negara ini bakal menjadi “point of contention” atau titik pergolakan.

Libya bakal berhadapan dengan senario Afghanistan ketika pasukan Mujahideen berjaya menawan Kabul. Atas sebab tiada kesatuan kepimpinan, maka perpecahan dan pergolakan antara puak akan berlaku. Kesannya, sehingga kini pakar-pakar dan ahli bijak laksana “geopolitik” dari Barat masih gagal menstabilkan Afghanistan.

Tetapi, yang paling memilukan penulis ialah pada masa yang sama, konflik di Libya berlaku, pihak Israel turut melancarkan serangan terhadap penduduk Palestin, atas sebab berlaku krisis antara pendatang Yahudi yang membina rumah secara haram di atas tanah milikan sah rakyat Palestin. Maka, atas dasar “keselamatan” , pendududuk di Palestin diserang bertalu-talu tanpa belas kasihan dan tanpa peluang untuk mempertahankan diri mereka.

Respons dari Barat akan krisis ini? Sudah tentu tiada. Tiada laporan dari media-media Barat. Tiada kutukan mahupun gesaan untuk Israel menghentikan serangan. Tiada usaha dari Amerika Syarikat mahupun NATO untuk menghantar kapal-kapal perang bagi mententeramkan keadaan. Tiada usul di PBB untuk mengecam Israel mahupun usaha untuk melaksanakan “no-fly zone” di Israel mahupun Palestin.

Demikianlah demokrasi cara Barat dalam menangani konflik dan usaha keamanan di Asia Barat. Sama tapi tak serupa...

mStar Online
: Sama Tapi Tak Serupa….

No comments:

Post a Comment