Thursday, April 7, 2011

Pak Ngah kesal jasa tak dikenang

KUALA LUMPUR: “Mata saya hampir buta dimasuki pasir akibat pekerjaan ini, tetapi jasa saya langsung tidak dihargai,” dakwa seorang penggali kubur Masjid At-Taqwa Selayang Baru, Othman Naim, 83, yang ditamatkan perkhidmatannya oleh Jawatankuasa Kariah Masjid itu sejak 1 Februari lalu.
Dia yang lebih dikenali sebagai Pak Ngah berkata, penamatan perkhidmatan oleh jawatankuasa masjid dibuat tanpa sebarang penjelasan dan dianggapnya sebagai tidak sah.

“Saya tak faham sebab apa perkhidmatan ditamatkan sedangkan gaji saya bukannya dibayar oleh jawatankuasa kariah, tetapi dibayar oleh mereka yang memerlukan perkhidmatan.

“Apa mereka sudah lupa jasa saya selama 14 tahun sebagai penggali kubur di kawasan itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Katanya, dalam notis yang diberikan kepadanya, jawatankuasa kariah bersetuju memberi bayaran sagu hati berjumlah RM900.


Sagu hati berkenaan akan dibayar secara bulanan dan bayaran akan dibuat secara berperingkat, RM300 selama tiga bulan.

“Jasa saya hanya setakat itu saja? Bukan saya nak minta bayaran lebih pun tapi saya rasa masih mampu untuk buat kerja itu dan tidak sepatutnya saya diberhentikan,” katanya.

Menurutnya, kemungkinan untuknya terpaksa keluar dari rumahnya yang dibina bersebelahan tanah perkuburan itu juga akan berlaku. Ia disebabkan dalam notis yang diterimanya turut memberitahu bahawa pihak masjid akan mengadakan perbincangan dengan Pejabat Agama Islam Daerah Gombak bagi membincangkan status rumah terbabit. “Rumah saya itu dibina atas sumbangan orang ramai dan ketika pembinaannya, Ahli Jawatankuasa Kampung Selayang memberitahu secara lisan kepada pejabat tanah dan jabatan agama Islam.

“Pembinaan rumah saya atas dasar keselamatan tanah perkuburan disebabkan bimbang berlaku perkara tidak elok di kawasan itu dan memudahkan tugas saya,” katanya.

Sementara itu, Nazir Masjid At Taqwa, Mizan Mamat, berkata, keputusan untuk menamatkan perkhidmatan Othman dibuat dalam Mesyuarat Pegawai dan Jawatankuasa Masjid kali ke-14 pada 5 November tahun lalu.


“Jawatankuasa sebulat suara bersetuju supaya perkhidmatan dia ditamatkan dan keputusan itu bukanlah dibuat oleh individu tertentu,” katanya.


Katanya, status rumah terbabit juga masih dalam perbincangan dan belum ada sebarang keputusan yang dibuat.
myMetro | Pak Ngah kesal jasa tak dikenang

No comments:

Post a Comment