Saturday, April 16, 2011

Suami cerai isteri akibat dadah



KUALA TERENGGANU – Masalah penyalahgunaan dadah turut menjadi penyumbang kepada penceraian pasangan suami isteri di negeri ini, demikian kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Agama negeri, Muhammad Ramli Nuh.

Muhammad Ramli berkata, pengaruh dadah menyebabkan ada antara suami yang bertindak di luar batasan dengan menceraikan isteri masing-masing walaupun mereka tidak bermaksud sedemikian.

“Penceraian tetap terjadi kerana ia disebabkan mereka sendiri yang mengambil bahan terlarang itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutup Sambutan Memperingati Hari Antidadah Kebangsaan peringkat negeri di Sekolah Menengah (SM) Datuk Razali.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh berkata, lebih menyedihkan apabila ada suami yang masih tidak serik hingga berlakunya tiga kali penceraian sekali gus tidak melayakkan mereka kembali bersatu atau rujuk.

Katanya, masalah dadah boleh meruntuhkan rumah tangga dan merosakkan keharmonian berkeluarga justeru rakyat harus menjauhi bahan terlarang tersebut bagi menjamin kesejahteraan hidup.

“Jangan dekatinya kerana ia tidak membawa sebarang keuntungan dan kita lihat ramai remaja Melayu yang terbabit dalam perkara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment