Saturday, April 16, 2011

Wang pencen tidak munasabah



PLENTONG – Di sebalik kesyukuran masih ada lagi tertanam ketidakpuasan hati seorang bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhadap wang pencen yang mula diterima bulan lalu.

Sinar Harian 10 Oktober tahun lalu pernah menyiarkan kekecewaan Mazlan Ahmad, 33, terhadap tuntutan pencen tamat perkhidmatan akibat mengalami kecacatan kekal selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Julai 1999.

Mazlan berkata, usaha pihak TUDM Bukit Lunchu diucapkan ribuan terima kasih kerana penantian hampir empat tahun untuk mendapatkan wang pencen akhirnya membuahkan sedikit hasil.

Menurutnya, bagaimanapun wang pencen yang mula diterima bulan lalu sebanyak RM349.03 sebulan langsung tidak munasabah dalam keadaannya yang sudah kehilangan sebelah tangan.

“Saya bersyukur dengan wang ganjaran RM4,237.89 dan wang pencen bulanan yang mula diterima, tetapi masih ada ketidakpuasan hati dengan wang pencen yang saya rasa jumlahnya terlalu kecil.

“Saya musykil dengan pengiraan yang dibuat kerana saya menamatkan perkhidmatan bukan sengaja, tetapi disebabkan kecacatan fizikal yang telah dialami,” katanya kepada :Sinar Harian.

Mazlan berkata, jabatan TUDM yang bertanggungjawab dalam urusan ini diharap dapat mempertimbangkan semula kesnya kerana wang pencen yang diterima bulanan kurang RM350 tidak mampu menampung keperluan hidupnya.

Menurutnya, hasratnya memang ada untuk menamatkan perkhidmatan sehingga 21 tahun, tetapi disebabkan kecacatan fizikal yang dialami menyebabkannya hanya mampu berkhidmat selama 10 tahun sahaja.

“Saya memang sedih dan kecewa dengan kadar wang pencen yang diterima sebanyak ini, sedangkan dalam keadaan saya bertangan palsu paras bahu menyebabkan saya tidak diterima bekerja.

“Saya mohon jabatan TUDM bertanggungjawab dapat membuat pertimbangan sewajarnya kerana dengan jumlah wang pencen kurang RM350 langsung tidak relevan dalam keadaan saya begini,” katanya.

No comments:

Post a Comment