KABUL: Satu serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di selatan Afghanistan telah menyebabkan 12 kanak-kanak dan dua wanita terkorban kelmarin.
Ini merupakan antara angka korban orang awam yang terburuk oleh pasukan tentera luar sejak beberapa bulan lalu.Jurucakap pihak berkuasa wilayah Helmand, Encik Dawood Ahmadi, berkata kejadian itu berlaku di daerah Nawzad.Menurutnya, Nato yang menyasarkan kawasan pemberontak dalam serangan itu sebaliknya melepaskan bom ke arah dua rumah penduduk awam.Serangan itu juga menyebabkan enam orang cedera, termasuk tiga kanak-kanak.Penduduk dan pegawai setempat di daerah Nawrad berkata serangan udara itu berlaku sekitar 11 malam (waktu tempatan).'Rumah saya dibedil pada tengah malam dan anak-anak saya terkorban... Anggota Taleban bersembunyi jauh dari rumah saya. Kenapa rumah saya yang dibom?' tanya seorang anggota keluarga mangsa, Cik Noor Agha.Mengulas, jurucakap Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (Isaf) yang dipimpin Nato, berkata:'Kami sedar tentang laporan yang mendakwa orang awam terkorban semalam (kelmarin) di Helmand.'Menurut beliau, pihaknya akan menyiasat kejadian itu dan mendedahkan dapatannya kelak.Kematian orang awam oleh pasukan tentera asing, biasanya semasa serangan udara atau serbuan pada malam hari, merupakan punca utama ketegangan di antara Presiden Afghanistan, Encik Hamid Karzai, dan sekutu baratnya.Ia juga menyulitkan lagi usaha memenangi hati penduduk setempat untuk menerima kehadiran askar asing di negara mereka.Kelmarin, Encik Karzai mengarahkan Kementerian Pertahanannya agar mengambil alih operasi serbuan pada malam hari, sambil berkata operasi sensitif serupa itu harus dijalankan sendiri oleh tentera Afghanistan.Pada Februari lalu, serangan empat hari yang dilancarkan askar Afghanistan bersama askar asing telah menyebabkan 64 orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, terkorban di wilayah timur Kunar.Di bawah rancangan yang dipersetujui pemimpin negara anggota Nato tahun lalu, askar asing akan mula memindahkan kawalan keselamatan kepada askar Afghanistan mulai Julai ini.Askar asing akan berundur sepenuhnya dari negara itu pada 2014. -- Reuters.
No comments:
Post a Comment