Wednesday, May 18, 2011

Abdul Majid bekal alat buat senjata

JOHOR BAHRU: Ahli perniagaan Singapura, Abdul Majid Kunji Mohamad yang kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dipercayai membekalkan peralatan kejuruteraan dwi-kegunaan kepada kumpulan militan di selatan Filipina.


Menurut sumber perisikan serantau, bekalan peralatan kejuruteraan itu adalah untuk kegunaan kilang membuat senjata milik kumpulan berkenaan di kawasan yang dikuasainya di selatan negara terbabit.
“Dia (Abdul Majid) dipercayai diminta untuk membekalkan peralatan kejuruteraan dwi-kegunaan untuk kilang senjata milik kumpulan itu, yang berkeupayaan membuat pelbagai jenis senjata termasuk pelancar roket,” katanya.
Katanya, bagi membolehkan kilang itu mengeluarkan senjata, ia memerlukan peralatan kejuruteraan yang moden dan berkualiti yang hanya boleh didapati di Malaysia dan Singapura.

Beliau berkata, walaupun Abdul Majid yang kini menetap di Kuala Lumpur memiliki fahaman Islam yang radikal, tetapi beliau dipercayai bukan anggota mana-mana kumpulan militan.

Katanya, ahli perniagaan Singapura itu berkemungkinan akan diserahkan kepada pihak berkuasa Singapura selepas tamat tempoh 60 hari penahanannya mengikut ISA.

Pada 9 Mei lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, dalam satu kenyataan berkata Abdul Majid ditahan kerana disyaki terbabit menyalurkan dana dan memberi bantuan logistik kepada kumpulan militan di selatan Filipina.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penahanan ahli perniagaan Singapura itu kerana kaitannya dengan kumpulan militan di selatan Filipina. – BERNAMA
Berita Harian

No comments:

Post a Comment