Wednesday, May 18, 2011

Misi hantar paip PVC mungkin ikut jalan darat

KODIANG: Misi bantuan kemanusiaan kapal kargo The Spirit of Rachel Corrie yang terkandas akibat diserang tentera Israel di perairan Gaza, kelmarin akan diteruskan dengan menggunakan laluan darat sebagai alternatif untuk membawa paip PVC sepanjang 7.5 kilometer bagi membaik pulih sistem pembetungan dan bekalan air ke Gaza.


Penasihat Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF), Datuk Mukhriz Mahathir, berkata serangan kapal peronda Israel terhadap kapal kargo terbabit tidak akan menghalang misi berkenaan, sebaliknya paip PVC itu akan tetap dibawa masuk dengan jalan darat iaitu melalui Mesir ke Gaza dan Rafah.
Katanya, keadaan di Gaza ketika ini semakin meruncing kerana selain kekurangan barangan keperluan asas, berlaku penularan pelbagai penyakit berikutan kekurangan peralatan perubatan termasuk ubat.
“Misi kemanusiaan itu akan tetap diteruskan dengan menggunakan jalan darat kerana keadaan di Gaza ketika ini sudah terlalu teruk. Sekiranya usaha membangunkan sistem pembetungan dan saluran air yang baik tidak dilakukan di negara itu, maka akan lebih banyak penyakit dan wabak akan menular.

“Akibat pencabulan berterusan tentera Israel, 1.5 juta penduduk di Palestin terpaksa menderita dalam keadaan serba kekurangan. Selain serangan penyakit berbahaya berikutan bekalan ubat tidak mencukupi, keadaan infrastruktur di sana juga tidak sempurna," katanya selepas majlis dialog bersama pesawah di Kampung Kubang Chenok di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan, Kapal kargo The Spirit of Rachel Corrie yang membawa bantuan kemanusiaan ke Palestin dipintas dan ditembak kapal peronda Israel di zon selamat Palestin, sebelum dipaksa berundur ke perairan Mesir, 1.5 batu nautika dari perairan Gaza.

Bagaimanapun, semua 12 krew dan penumpang termasuk tujuh rakyat Malaysia yang berada atas kapal itu, selamat.
Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, dunia perlu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kapal peronda Israel berkenaan kerana ia ternyata menyalahi undang-undang antarabangsa, selain mencabuli hak asasi manusia.
Berita Harian

No comments:

Post a Comment