Monday, May 23, 2011

Amnesty bidas Aceh kerana laksanakan hukuman sebat

JAKARTA: Kumpulan hak asasi, Amnesty International, semalam membidas pelaksanaan hukuman sebat di wilayah Aceh, Indonesia, dua hari selepas negara itu berjaya menduduki kerusi dalam Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Amnesty menggesa Jakarta supaya memansuhkan undang-undang kecil yang digunakan wilayah separuh autonomi itu menjatuhkan hukuman sebat secara terbuka ke atas sekurang-kurangnya 21 orang lelaki kerana kesalahan berjudi bulan ini.

'Nampaknya, pihak berkuasa Aceh semakin menggunakan hukuman sebat di khalayak awam, melanggari undang-undang antarabangsa,' kata pengarah Asia Pasifik Amnesty, Encik Sam Zarifi, dalam satu kenyataan.

'Pemerintah Indonesia harus bertindak menghentikan hukuman-hukuman ini yang berupa kezaliman, tidak berperi kemanusiaan, atau layanan yang menjatuhkan martabat serta sering menjadi satu penderaan,' kata beliau dalam kenyataan itu.

Sejumlah 16 orang dilaporkan telah dikenakan hukuman sebat di Aceh tahun lalu, kata kenyataan itu lagi.

Amnesty berkata hukuman sebat melanggar Konvensyen PBB terhadap Penderaan, dengan Indonesia secara rasmi menerimanya pada 1998.

Ia menggesa pemerintah pusat negara tersebut supaya menyemak undang-undang kecil itu agar ia dapat mematuhi undang-undang dan piawaian hak asasi antarabangsa dan nasional.

Aceh, yang terletak di bahagian paling utara Sumatera, melaksanakan undang-undang syariah pada 2001 sebagai sebahagian daripada satu pakej autonomi yang bertujuan menamatkan sentimen pemisahan di kalangan penduduknya.

Hukuman sebat di wilayah itu pula lebih bertujuan memberi kesan malu daripada mencederakan. -- AFP.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment