PILU...Norlaili menenangkan anaknya Mohd Alif, yang sebak kerana kawan rapatnya, Hazim, meninggal dalam kejadian tanah runtuh, semalam. |
SEBAK...Zaliah dan suaminya, M Muin sebak apabila anak mereka, Haziq terkorban dalam kejadian tanah runtuh, semalam. |
KUALA LUMPUR: “Arwah seorang anak yang baik dan tidak susah untuk menjaganya sejak kecil, malah sebelum kejadian, dia sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bertanya mengenai persiapan untuk pendaftaran masuk ke Matrikulasi Perak di Gopeng,” kata ibu Dzarhir Haziq M Muin, 18, Zaliah Abdullah, 45, mangsa tragedi tanah runtuh Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, semalam.
Zaliah berkata, anak sulungnya daripada empat beradik yang mendapat 5A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini sepatutnya mendaftar masuk ke matrikulasi esok (hari ini) dan segala persiapan sudah siap.
Menurutnya, arwah sanggup menolak tawaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan memilih matrikulasi bagi mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang doktor.
“Kali terakhir saya berjumpa arwah adalah Jumaat lalu selepas menghantarnya ke madrasah berkenaan dan ketika itu, tiada perubahan pelik ditunjukkan malah berkelakuan seperti biasa.
“Arwah sering ke madrasah itu pada setiap minggu untuk belajar agama dan mengikuti aktiviti dijalankan penghuni terbabit,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat, Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.
Bapa saudara mangsa, Zubir Abdullah, 43, pula berkata, dia mendapat berita kejadian menimpa arwah malam tadi (kelmarin) dan terkejut dengan kejadian menimpa anak saudaranya.
“Sepanjang saya mengenali arwah, dia seorang yang pendiam dan tidak banyak bergaul, malah sepatutnya mendaftar masuk ke Matrikulasi Gopeng esok (hari ini) namun hajatnya tidak kesampaian.
“Arwah juga sudah setahun belajar agama di madrasah berkenaan. Ibu bapanya yang tinggal di Shah Alam, Selangor akan menghantar arwah pada setiap minggu dan mengambilnya semula pada Ahad,” katanya.
Sementara itu, suasana di pekarangan HKL bertambah pilu apabila, Mohd Alif Haikal Jasmin, 10, gagal menahan sebak selepas mengetahui rakannya, Mohd Hazim Sapri, 10, sudah tiada sebelum ditenangkan ibunya, Norlaili Zainal Abidin, 28.
Mohd Alif berkata, dia dan Hazim sangat rapat dan jika ke mana-mana pun mereka akan pergi bersama-sama, malah ketika rehat di sekolah, mereka akan makan berdua.
“Saya hanya mengetahui kejadian menimpa Hazim awal pagi ini (semalam) dan terus ke hospital bersama ibu untuk melihat arwah.
“Saya berkawan dengannya sejak setahun lalu ketika belajar di dalam kelas yang sama di Sekolah Kebangsaan Taman Muda, Ampang dan arwah seorang yang baik,” katanya yang gagal mengawal kesedihan sehingga terpaksa ditenangkan ibunya.
Bagaimanapun, ibu dan kakak mangsa ketika ditemui enggan ditemubual kerana masih bersedih.
Kedua-dua mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 14, Hulu Langat bersama lima lagi rakan mereka dalam satu liang lahad, semalam.myMetro | ‘Arwah anak bijak, baik’
No comments:
Post a Comment